Satu Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) di bawah Akta Suruhanjaya Siasatan 1950 (Akta 119) akan ditubuhkan bagi menyiasat isu-isu berbangkit mengenai Lembaga Tabung Haji (LTH).
Ia ekoran daripada hasil pengauditan perunding-perunding seperti PricewaterhouseCoopers (PwC), Ernst & Young (EY) dan Roland Berger dari tahun 2014 hingga 2020.
Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob memaklumkan bahawa penubuhan suruhanjaya itu telah dipersetujui Jemaah Menteri dalam satu mesyuarat pada hari ini.
Menurutnya juga, terdapat empat terma RCI yang telah dipersetujui oleh Jemaah Menteri iaitu Skop RCI adalah tertumpu kepada hasil penemuan perunding-perunding ke atas isu-isu berbangkit LTH dari tahun 2014 hingga tahun 2020 tetapi tidak termasuk dalam Pelan Pemulihan dan Penstrukturan LTH yang sedang dilaksanakan pada masa ini.
Tidak cuma itu, RCI juga boleh menentukan sama ada terdapat tindakan menyembunyikan (cover up) maklumat berkaitan isu-isu yang dibangkitkan dan perbuatan memberi kenyataan yang mengelirukan mengenainya.
Seterusnya, RCI boleh mengesyorkan tindakan yang sesuai diambil terhadap pihak-pihak yang terlibat sama ada secara langsung atau tidak langsung jika mereka didapati melanggar mana-mana peruntukan undang-undang yang sedang berkuat kuasa tanpa menjejaskan apa-apa siasatan dan tindakan perundangan yang sedang dilaksanakan oleh pihak-pihak berkuasa berkaitan. Langkah ini adalah bertujuan untuk penambahbaikan dan tadbir urus LTH.
Akhir sekali, RCI perlu mengemukan kepada kerajaan laporan hasil semakan dan syor mengenai tindakan susulan, jika perlu, dalam tempoh tiga bulan.
“Jabatan Perdana Menteri akan mengenal pasti senarai keahlian RCI yang dicadangkan terdiri daripada pakar-pakar dalam bidang syariah, perundangan, perbankan Islam dan pelaburan.
“Perincian berhubung penubuhan dari segi terma dan rujukan serta keanggotaan RCI akan diumumkan dalam masa terdekat,” kata Ismail Sabri dalam satu kenyataan media pada petang ini.
Tambahnya, penubuhan RCI adalah wajar supaya siasatan lanjut dapat dibuat terhadap perkara-perakara yang dibangkitkan tersebut dan perakuan sewajarnya dapat dikemukakan kepada kerajaan bagi memulihkan imej serta keyakinan rakyat terhadap kewibawaan LTH.
Sumber: BERNAMA TV