Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin memberi komitmen untuk melaksanakan undang-undang melarang penjualan tembakau dan rokok lain kepada individu yang lahir selepas tahun 2005.
Pihaknya merasakan ia memberi impak besar dalam mencegah dan mengawal Penyakit Tidak Berjangkit (NCD).
Malaysia akan menyelaras Pelan Strategik Kebangsaan Penyakit Tidak Berjangkit (NCD) dan Kertas Putih Mengenai Penjagaan Kesihatan Masa Depan dengan Hala Tuju Pelaksanaan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), katanya.
Dalam ucapan intervensi pada Mesyuarat Lembaga Eksekutif WHO Sesi ke-150 di Geneva, Switzerland, Khairy berkata Malaysia mengalu-alukan Hala Tuju Pelaksanaan itu kerana ia memberi panduan penting tentang program negara masing-masing dalam mencapai matlamat berkaitan NCD.
“Satu daripada pengajaran utama dipelajari dalam menguruskan pandemik COVID-19 ialah keberkesanan pendekatan seluruh negara.
“Begitu juga dalam mencegah dan mengawal NCD, kita memerlukan pendekatan menyeluruh di peringkat nasional dan subnasional dengan kerjasama pelbagai pihak melibatkan kerajaan, masyarakat sivil, sektor swasta dan masyarakat tempatan,” katanya.
Objektif lain dalam pelan ini adalah untuk membentuk generasi tidak merokok dan untuk menghasilkan pendekatan ‘Kesihatan dalam Semua Polisi’.

Sumber: Bernama, KKM