Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menerusi perutusan khas sebentar tadi memaklumkan bahawa kerajaan akan memulakan roll-out pelaksanaan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan mulai hujung bulan ini.
Menurutnya, sebanyak 80 peratus populasi negara ini atau 26.5 juta individu akan menerima vaksin ini yang akan diberikan secara percuma kepada rakyat Malaysia.
Program Imunisasi ini akan melibatkan tiga fasa iaitu fasa pertama akan melibatkan sejumlah 500,000 petugas barisan hadapan yang terdiri daripada petugas bukan kesihatan. Ia dijadualkan tamat pada bulan April.
Fasa kedua pula akan melibatkan kumpulan yang berisiko tinggi dijangkiti COVID-19 iaitu warga emas dan golongan rentan yang berusia 60 tahun ke atas, yang mengalami masalah morbiditi seperti penyakit jantung, obesiti, diabetes dan tekanan darah tinggi. Ia termasuk golongan Orang Kelainan Upaya (OKU).
“Sebanyak 9.4 juta orang dianggarkan akan menerima vaksin di bawah fasa kedua ini, yang akan berlangsung mulai April hingga Ogos 2021,” katanya.
Bagi fasa ketiga Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan, baki penerima vaksin merupakan golongan dewasa berumur 18 tahun ke atas,
yang akan bermula dari bulan Mei 2021 hingga Februari 2022.
Tambahnya lagi, lebih 600 pusat simpanan yang juga pusat pemberian vaksin akan dibuka di seluruh negara.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin telah dilantik sebagai Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 kebangsaan ini.
Sumber: MKN