Kenyataan Rasmi MOF Berhubung Rang Undang-Undang Kredit Pengguna
Kementerian Kewangan Malaysia (MOF) hari ini mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung Rang Undang-Undang Kredit Pengguna (RUUKP) yang diperkenalkan sebagai langkah komprehensif untuk melindungi rakyat daripada risiko kewangan akibat penggunaan kredit yang tidak terkawal dan amalan pinjaman yang tidak beretika.
Dalam kenyataan tersebut, MOF menegaskan bahawa RUUKP merupakan usaha kerajaan untuk menangani cabaran baharu dalam era kewangan digital yang berkembang pesat.
Kini, pengguna semakin terdedah kepada pelbagai bentuk tawaran kredit seperti pinjaman segera dan skim Buy Now Pay Later (BNPL), yang sering kali disertai risiko tersembunyi seperti caj berlebihan, hutang melampau dan penipuan kewangan.
Justeru, RUUKP akan menjadi akta utama yang mengawal selia semua bentuk perniagaan kredit dan perkhidmatan berkaitan.
“la akan memastikan perlakuan yang adil oleh penyedia kredit, selain mewajibkan ketelusan dalam pengenaan caj serta memperkenalkan garis panduan yang profesional dalam pengurusan kutipan hutang dan penyelesaian pertikaian.
“Melalui akta ini, pengguna yang berhadapan dengan kesulitan kewangan juga berpeluang mendapatkan bantuan dan khidmat nasihat melalui saluran yang sah dan berdaftar,” jelas MOF.
Buat julung kalinya, sebuah Suruhanjaya Kredit Pengguna (SKP) akan ditubuhkan di bawah RUUKP.
Suruhanjaya ini akan mengawal selia pelbagai penyedia perkhidmatan yang sebelum ini beroperasi tanpa pemantauan langsung, termasuk syarikat pajakan, syarikat pemfaktoran, agensi kutipan hutang serta penyedia pembiayaan digital bukan bank.
“Selain memperkemas kawal selia, SKP akan turut memudahkan pemindahan fungsi pengawalseliaan daripada pelbagai kementerian dan agensi di bawah satu bumbung, menjadikan pengawasan industri kredit lebih seragam dan efisien,” tambah MOF.
RUUKP bukan sekadar satu rang undang-undang, tetapi satu inisiatif penting kerajaan dalam membentuk ekosistem kredit pengguna yang lebih selamat, profesional dan inklusif.
Ia mencerminkan komitmen jangka panjang kerajaan untuk memastikan rakyat tidak terus terdedah kepada amalan kredit yang menindas.
“Dengan pelaksanaan berfasa yang dirancang rapi, RUUKP dijangka memberi kesan besar terhadap landskap kewangan negara menjadikan perlindungan pengguna sebagai keutamaan utama dalam setiap transaksi kredit,” tambah MOF lagi.
BACA: Skim “Buy Now Pay Later” Cecah RM3.8 Bilion – Lim Hui Ying
BACA: Kerajaan Dijangka Raih Penjimatan RM135 Juta Menerusi Pengurangan Subsidi Telur Ayam
BACA: Serbuan Perjumpaan Gay Di Kelantan Berasaskan Risikan – Polis
Sumber: MOF