Kucing "Gifted" Yang Berjaya Meramal Hampir 100 Kematian
Gambar: Google

Kenali Oscar, Kucing “Gifted” Yang Berjaya Ramal Hampir 100 Kematian Di Pusat “Rehab”

Noorliyana Ishak

Kenali Oscar, Kucing “Gifted” Yang Berjaya Ramal Hampir 100 Kematian Di Pusat “Rehab”

Ramalan merupakan suatu kemampuan yang boleh dilakukan oleh seseorang untuk mengetahui apa yang bakal terjadi pada masa depan.

Untuk meramal sesuatu yang belum terjadi adalah perkara yang mustahil untuk mana-mana manusia di muka bumi ini tanpa bukti dan fakta yang kukuh.

Namun begitu, bagaimana jika ramalan tersebut dilakukan oleh haiwan seperti seekor kucing? Adakah anda percaya dengan ramalan tersebut?

Sudah terang lagi bersuluh, haiwan mempunyai lebih banyak kelebihan dan keistimewaan berbanding manusia. Hal ini disebabkan oleh haiwan-haiwan ini bersifat lebih sensitif dan dapat merasakan hal-hal yang di luar kemampuan manusia.

Selain itu, makhluk ciptaan Allah SWT ini juga mempunyai sensitiviti yang berbeza-beza. Mereka mempunyai deria bau, deria penglihatan, deria sentuh, deria pendengaran yang jelas, bahkan dapat meramal kematian. Kelebihan yang ada pada haiwan ini adalah sesuatu yang boleh dianggap kurniaan yang istimewa.

Bercakap mengenai meramal kematian, seekor kucing bernama Oscar dilaporkan telah meramal kematian lebih daripada 100 orang pesakit di sebuah Pusat Penjagaan dan Pemulihan Streere House di Rhode Island, Amerika Syarikat.

BACA: “Asalkan Ada Kerja,” Hakikat Graduan Perlu Hadam, 5 Tahun Grad Tapi Masih Kerja Tak Ikut Bidang, Gaji Tak Setimpal

Ceritanya bermula pada tahun 2005. Oscar yang baru berusia enam bulan itu telah diambil oleh pusat penjagaan yang dihuni oleh pesakit Alzheimer, Parkinson dan seumpamanya untuk dijadikan sebagai seekor kucing perawat.

Kemampuan Oscar yang menakjubkan itu mula disedari oleh staf ketika haiwan itu mula melompat ke katil pesakit dan tidur di sebelahnya.

Gambar: Love Meow

Difahamkan bahawa, Oscar ini bukannya kucing yang mudah didekati. Ia kerana, apabila seseorang mahu menyentuhnya, dia akan melakukan tindak balas dengan mengeluarkan bunyi garang supaya orang tidak menyentuhnya.

Pun begitu, pada suatu hari staf berasa agak pelik apabila Oscar didapati duduk berdampingan dengan seorang pesakit yang sedang terlantar di katil seolah-olah sudah jinak dengan manusia.

Pada mulanya, staf di pusat penjagaan itu tidak menyedari akan kelakuan Oscar itu namun mereka mula menyedari bahawa setiap pesakit yang didekatinya pasti akan meninggal dunia selepas satu hingga dua jam kemudian.

Ramalan yang dilakukan oleh kucing berwarna kelabu dan putih ini dikatakan tepat sebanyak 25 kes berturut-turut tanpa silap, lapor The Guardian.

Ekoran daripada itu, staf di pusat penjagaan tersebut akan memaklumkan kepada ahli keluarga untuk kekal berada di sisi pesakit apabila ia menghampiri pesakit berkenaan.

Anugerah istimewa yang ada pada Oscar itu telah menarik perhatian ramai sehingga seorang penyelidik dan pakar geriatik di Universiti Brown, Dr. David Dosa menulis mengenai Oscar yang bertajuk Making Rounds with Oscar: The Extraordinary Gifts of an Ordinary Cat.

Malah, Dr. Dosa juga telah menerbitkan sebuah jurnal berkaitan kucing tersebut dalam New England Journal of Medicine pada tahun 2007.

BACA: Patutlah Banyak “Sale” Bermula Lewat Malam, Tapi Ramai Yang Tak Sedar Sebabnya

Dalam jurnalnya itu, Dr. Dosa mengatakan bahawa kucing tersebut tidak pernah melakukan banyak kesilapan dan seolah-olah memahami bahawa pesakit-pesakit itu sedang nazak, lapor Fox News.

“Ramai keluarga tenang dengan pemergian ahli keluarganya. Mereka sangat menghargai persahabatan yang diberikan oleh Oscar terhadap ahli keluarganya yang telah meninggal dunia,” kata Dr Dosa.

Menurut staf di pusat penjagaan tersebut, Oscar akan meronda di sekitar wad, memerhati dan menghidu pesakit sebelum memilih seseorang untuk melompat ke atas katilnya.

Dalam pada itu, seorang lagi doktor dari Universiti Brown yang bekerja di pusat penjagaan itu, Dr. Joan Teno berkata bahawa beliau yang sering melakukan kesilapan itu menjadi lebih yakin dengan bakat Oscar.

Menurutnya, antara tanda-tanda seseorang pesakit itu menemui ajalnya ialah tidak mempunyai selera makanan, sukar untuk bernafas dan kakinya pula berwarna kebiru-biruan.

Gambar: InfoStock Junction

Sementara itu, Dr. Dosa menyatakan bahawa Oscar dapat meramalkan kematian pesakit dengan memilih untuk tidur di sebelahnya selama beberapa jam sebelum mereka meninggal dunia.

Beliau percaya bahawa Oscar berkemampuan menghidu biokimia yang dikeluarkan oleh sel yang mati serta mengambil kira kekurangan pergerakan pesakit.

Apabila Oscar menyedari masa seseorang pesakit itu hampir tiba, ia akan berada dekat di sisi sehingga mereka menghembuskan nafas terakhir.

Pada 2015, Oscar telah meramalkan hampir 100 kematian dengan betul dan mendampingi setiap pesakit di saat-saat akhir hayatnya.

Sumber: The Guardian, Fox News