Mungkin agak pelik namun kejadian ini benar-benar berlaku di India. Seekor kambing dipercayai telah ‘ditangkap’ oleh pihak polis di kawasan Beconganj kerana berkeliaran tanpa ‘memakai pelitup muka’, lapor Mumbai Mirror.
Kejadian yang dipercayai berlaku pada minggu lalu itu menyaksikan polis ‘mengangkut’ kambing tersebut dengan menggunakan jip dan membawa haiwan tersebut ke balai polis.
Apabila pemilik kambing itu mengetahui bahawa polis telah mengambil haiwan peliharaannya, dia bergegas ke balai polis dan merayu agar haiwan itu dilepaskan.
Pihak polis akhirnya membenarkan dia membawa pulang kambing tersebut namun diberi amaran agar tidak membenarkan haiwan itu berkeliaran di atas jalan.
Salah seorang pegawai polis mengatakan bahawa mereka telah menemui seorang remaja yang tidak memakai pelitup muka yang membawa kambing itu bersamanya.
“Apabila dia melihat polis, dia melarikan diri dan meninggalkan kambing itu sehingga menyebabkan polis membawa kambing itu ke balai. Kemudian, kami menyerahkan semula kambing tersebut pada pemiliknya,” katanya.
Menurut Mumbai Mirror, salah seorang pegawai polis yang membawa kambing itu mengaku bahawa mereka mendapati berlakunya pelanggaran perintah berkurung kerana kambing itu tidak memakai pelitup muka.
Sumber: Mumbai Mirror