
SEREMBAN, 7 Jun (Bernama) — Seorang pegawai penyelidik sebuah syarikat utiliti mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan memandu kereta secara berbahaya sehingga menyebabkan kematian seorang penunggang basikal warga emas, pada 1 Jun lepas.
Individu berkenaan yang berusia 26 tahun membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Intan Syafinaz Ros’lin.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa memandu Perodua Axia secara laju dan melulu sehingga menyebabkan kematian Khalid Mohd Isa, 72, dalam kejadian pada pukul 8.25 pagi di Jalan Temiang-Pantai di sini pada 1 Jun.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda maksimum RM50,000, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dilakukan Pegawai Pendakwa ASP M. Shanmugavel manakala individu itu tidak diwakili peguam.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,500 dengan seorang penjamin selain lesen memandunya digantung.
Sebutan semula kes ditetapkan pada 21 Jun ini.
BACA JUGA: Warga Emas Berbasikal Di Lokasi Terkenal ‘Temiang Bypass’ Maut Dilanggar Kereta
Sumber: BERNAMA