Kedutaan Tinggi Jerman Kutuk Tindakan Graduan UMS Buat Tabik Nazi Semasa Hari Konvokesyen

Aqmal Ezany

Kedutaan tinggi Jerman di Malaysia pada hari ini menyelar tindakan seorang graduan Universiti Malaysia Sabah (UMS) yang menggunakan tabik hormat tentera Nazi dalam satu majlis konvokesyen yang berlangsung pada hujung minggu lalu.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh kedutaan tinggi Jerman di Malaysia menerusi akaun Facebook rasminya, mereka berasa terkejut dan berharap agar kerajaan Malaysia serta pihak universiti dapat melakukan sesuatu terhadap graduan tersebut atas tindakan yang dilakukannya.

“Dengan mengambil kira penderitaan dahsyat yang terjadi ke atas dunia semasa Perang Dunia II oleh rejim Nazi Jerman, Kedutaan Jerman secara terang-terangan mengutuk sebarang perbuatan menyokong rejim yang bertanggungjawab untuk Pembunuhan Genosida” nyata kedutaan Jerman menerusi akaun Facebooknya.

Graduan tersebut sempat memuat naik gambar dengan gaya tabik hormat rejim Nazi itu menerusi akaun Facebook peribadinya sebelum dipadam.

Menurut kenyataan yang ditulis oleh graduan tersebut bersama-sama dengan gambar yang mencetuskan kontroversi itu, dia mendakwa bahawa tindakan yang dilakukannya itu adalah bertujuan untuk menunjukkan tanda solidariti kepada rakyat Palestin akibat daripada perbuatan kejam tentera Israel.

Tragedi holocaust yang berlaku semasa perang Dunia Ke-2 telah memberi kesan yang mendalam ke atas penduduk di Eropah.

Pada ketika itu, tentera Nazi yang dipimpin oleh Adolf Hitler telah mengarahkan tenteranya untuk melakukan pembunuhan beramai-ramai dengan mendirikan kem tahanan bagi menyiksa tahanan perang.

Sumber: German Embassy Kuala Lumpur