Kecewa Dengan Politik Semasa, Agong Tiada Pilihan Selain Perkenan Permintaan PM – Istana Negara
KDYMM Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah tidak mempunyai pilihan selain memperkenankan permintaan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk membubarkan parlimen ke-14.
Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Istana Negara, Seri Paduka Baginda turut menzahirkan rasa kecewa terhadap perkembangan politik semasa.
“Seri Paduka Baginda menzahirkan rasa kecewa dengan perkembangan politik semasa dan Baginda tidak mempunyai pilihan selain memperkenan permintaan YAB Perdana Menteri bagi memulangkan kembali mandat kepada rakyat untuk memilih kerajaan yang stabil.” kata Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Dato’ Sri Ahmad Fadil Shamsudin.
Perkenan itu turut selaras dengan kuasa-kuasa Seri Paduka Baginda sepertimana yang termaktub di bawah Perkara 40(2)(b) dan Perkara 55(2) Perlembagaan Persekutuan.
Tambahnya, Seri Paduka Baginda turut menegaskan bahawa negara yang kukuh adalah penting bagi menjamin kestabilan politik dan kemakmuran ekonomi yang berterusan demi kesejahteraan negara dan rakyat secara keseluruhan.
Dalam kenyataan itu juga, Baginda menzahirkan harapan agar Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menjalankan Pilihan Raya ke-15 dalam tempoh yang terdekat.
Ia mengambil kira Monsun Timur Laut yang diramal bermula pada pertengahan bulan November 2022 ini.
Sehubungan itu, Seri Paduka Baginda mengajak rakyat bersama mendoakan agar negara dan rakyat sentiasa dihormati, diberkati dan dilindungi daripada sebarang bentuk musibah khususnya bencana banjir.
Menurut kenyataan itu lagi, Perdana Menteri telah menghadap Seri Paduka Baginda pada 9 Oktober lalu.
Dalam sesi pertemuan yang tidak berjadual bermula jam 12 tengah hari itu, Ismail Sabri telah meminta perkenan Seri Paduka Baginda bagi pembubaran parlimen ke-14 yang berkuatkuasa pada 10 Oktober 2022 (hari ini).
Sumber: Istana Negara
BACA JUGA: Nak Minum Tapi Malas Keluar Beli, Suami Minta Isteri Bancuh “Milk Tea” Sedap-sedap Kalau Nak Dapat iPhone