Kuala Lumpur : Tourism Western Australia menggesa pengunjung antarabangsa yang merancang untuk ke Australia Barat supaya meneruskan rancangan perjalanan mereka kerana negeri itu tidak terjejas dengan kejadian kebakaran hutan di Australia baru-baru ini.
Malah, agensi pelancongan itu dalam kenyataan hari ini menyatakan bahawa negeri berkenaan sentiasa menerima kedatangan pelancong.
”Kebakaran hutan yang berlaku di timur negara ini telah menarik perhatian antarabangsa yang membawa kepada persepsi tidak tepat bahawa seluruh negara terjejas.
”Dalam beberapa kes, liputan media antarabangsa juga telah memutarbelitkan jangkauan geografi kebakaran. Liputan itu tidak menggambarkan bahawa Australia adalah sebuah negara yang besar, bersamaan dengan saiz Amerika Utara,” menurutnya.
Agensi itu menambah, pengunjung yang sudah menempah atau merancang untuk melancong ke Australia Barat, digalakkan untuk mendapatkan maklumat terkini di www.australia.com/en/travel-alerts.html.
Australia berhadapan dengan kejadian kebakaran hutan terburuk sejak September tahun lepas, dengan negeri New South Wales (NSW) di pantai timur yang paling teruk terjejas. Dilaporkan, ratusan kejadian kebakaran hutan berlaku di NSW sahaja.
Sehingga kini, beribu-ribu rumah telah musnah dengan lebih 20 kematian dilaporkan manakala berjuta haiwan terkorban akibat kebakaran hutan itu.
Sumber : Bernama