Karnival Zakat Selangor: Tawarkan Pelbagai Aktiviti Menarik, Peluang Menang Pakej Umrah
SHAH ALAM, 27 September 2024 – Penyemakan kelayakan bantuan zakat atau membuat taksir zakat boleh dilakukan di Karnival Zakat Selangor pada 28 hingga 29 September 2024, bertempat di Dataran Karnival Stadium Shah Alam anjuran Lembaga Zakat Selangor (LZS) sempena sambutan Jubli Mutiara ke-30.
Terdapat lebih 3,000 peluang pekerjaan daripada 30 majikan pelbagai industri akan ditawarkan melalui Karnival iKerjaya di karnival tersebut. Penduduk Selangor, terutamanya golongan asnaf yang sedang mencari peluang kerjaya, dijemput hadir untuk memohon serta menjalani sesi temu duga.
Lebih menarik lagi, terdapat jualan daripada usahawan termasuk usahawan asnaf, jualan rahmah, food truck yang menyajikan pelbagai juadah, petting zoo untuk anak-anak, persembahan pentas Islami, CEO Run, sesi perkongsian ilmu yang bermanfaat dan banyak lagi aktiviti menarik menanti pengunjung. Kehadiran maskot Mechamato dan Boboiboy turut memeriahkan suasana di karnival tersebut.
Sumber : Lembaga Zakat SelangorKaunter bayaran saman atau kompaun dengan diskaun 30 peratus untuk bayaran kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) turut disediakan. Pengunjung berpeluang memenangi hadiah cabutan bertuah yang sangat istimewa iaitu pakej tunai umrah.
Orang ramai di sekitar Selangor dijemput hadir bagi memeriahkan lagi karnival ini dan yang penting, masuk adalah percuma. Maklumat lanjut, layari www.zakatselangor.com.my atau ikuti media sosial rasmi LZS.