Karnival Hijrah 2025: Jalin Ukhuwah, Sebar Ihsan Di Bumi FELDA Johor
TV AlHijrah dengan sokongan Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), 13 Agensi HEA dan FELDA bakal menganjurkan Karnival Hijrah 2025 pada 21 hingga 23 November 2025 di Felda Air Tawar 2, Kota Tinggi, Johor.

Mengangkat tema “Menjalin Ukhuwah, Menyebar Ihsan”, karnival ini menjadi platform dakwah komuniti yang menghimpunkan rakyat pelbagai latar belakang untuk merasai keindahan Islam dalam suasana kekeluargaan, kasih sayang dan kebersamaan.
Ia bukan sekadar acara turun padang mendekati masyarakat, Karnival Hijrah adalah satu gerakan lapangan untuk menyemarakkan dakwah secara lebih inklusif, membumi dan dekat dengan masyarakat.

Felda Air Tawar 2 dipilih sebagai lokasi penganjuran kerana keunikan komuniti setempatnya yang terkenal dengan semangat gotong-royong, perpaduan dan budaya kekitaan yang tinggi. Lokasi ini melambangkan aspirasi TV AlHijrah untuk membawa mesej dakwah keluar daripada studio dan layar kaca kepada masyarakat di lapangan, di mana Islam hidup dalam bentuk tindakan, khidmat dan kasih sayang.
Penganjuran Karnival Hijrah 2025 merupakan sebahagian daripada usaha berterusan TV AlHijrah dalam memperkukuh peranannya sebagai media Islam nasional yang bukan sahaja menyampaikan ilmu, tetapi membina pengalaman dakwah yang memberi impak sosial. Ia selaras dengan misi stesen ini untuk menyatukan ummah dengan ilmu, seiring dengan gagasan Malaysia MADANI.

Sepanjang tiga hari penganjuran, pelbagai aktiviti menarik menanti pengunjung. Setiap pengisian disusun bagi mendekatkan rakyat kepada Islam melalui ilmu, kebajikan, ekonomi dan ukhuwah. Antara yang menarik adalah Kenduri Rakyat, Gotong Royong Masyarakat, Sukaneka dan Pertandingan Komuniti, Jualan Rahmah serta Hijrah Prihatin yang menyantuni golongan memerlukan.
Wayang Pacak Hijrah menjadi antara pengisian yang paling dinanti dengan tayangan filem-filem Islamik pilihan di bawah langit malam yang mengembalikan nostalgia masyarakat desa, sambil menyampaikan mesej dakwah dalam suasana santai dan harmoni.

Selain itu, reruai pameran agensi Islam, jualan produk halal tempatan serta aktiviti kekeluargaan akan menambah seri karnival yang terbuka kepada semua lapisan masyarakat.
Sebagai sebahagian daripada usaha memperluas capaian dakwah, dua program khas TV AlHijrah iaitu Hijrah Berselawat dan Dakwah Live akan dirakam sepanjang karnival berlangsung sebelum disiarkan dalam slot khas di saluran TV AlHijrah. Rakaman ini bukan sahaja mendokumentasikan perjalanan karnival, tetapi turut menzahirkan wajah sebenar Islam yang harmoni, progresif dan berdaya menyatukan.

Majlis penutup rasmi akan berlangsung pada Ahad, 23 November 2025 di Dewan Orang Ramai Felda Air Tawar 2, dan akan disempurnakan oleh YB Senator Dato’ Setia Dr. Haji Mohd Na’im Mokhtar, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), dan dijangka akan dimeriahkan dengan kehadiran YAB Dato’ Onn Hafiz bin Ghazi, Menteri Besar Johor.
TV AlHijrah yakin, Karnival Hijrah 2025 akan menjadi contoh terbaik bagaimana pendekatan dakwah boleh dihidupkan dengan cara yang mesra rakyat, berkesan dan menyatukan. Karnival ini bukan semata-mata acara riang ria masyarakat, tetapi jambatan antara institusi agama dan masyarakat.

Ia memperlihatkan potensi media Islam sebagai jambatan antara kerajaan dan rakyat, antara ilmu dan tindakan, serta antara kasih dan perubahan sosial.
Dari bumi Johor, semoga gelombang dakwah ini terus menjalar ke seluruh tanah air untuk menyemai kasih, memperkukuh ukhuwah dan menyebar ihsan di bawah payung Islam yang rahmah.