Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) hari ini mencipta sejarah baharu apabila menyaksikan Laksamana Pertama Rohana Jupri menjadi ahli wanita pertama dalam Jawatankuasa Laksamana TLDM.
Pemakaian pangkat Laksamana Pertama Rohana Jupri itu meletakkan beliau berdiri sama tinggi bersama barisan tertinggi TLDM dalam kumpulan Jawatankuasa Laksamana yang sebelum ini dipelopori golongan lelaki.
Menurut kenyataan media yang dikeluarkan oleh TLDM, kenaikan pangkat ini membuktikan kemampuan dan kredibiliti wanita TLDM diiktiraf oleh pengurusan tertinggi.
“Ia juga sebagai tanda penghargaan TLDM terhadap usaha dan kemampuan yang ditunjukkan dan sekaligus memberi tanggungjawab kepada beliau untuk melaksanakan amanah yang diberikan dengan penuh dedikasi dan cemerlang,” kata kenyataan itu.
Kenaikan pangkat itu menjadi majlis pemakaian pangkat terakhir bagi tahun 2020 di peringkat Markas Tentera Laut.
Sumber: Tentera Laut Diraja Malaysia