Kapten kepada pasukan utama Manchester United, Harry Maguire dilapor mengalami kecederaan lutut dan mungkin disisihkan hingga habis musim ini.
Perkara berkenaan dimaklumkan sendiri oleh jurulatih sementara, Ralf Rangnick dalam sidang media sebelum turun menentang Chelsea pagi tadi.
Kecederaan yang dialami Maguire menyaksikan MU kini hanya memiliki 14 orang pemain utama yang cergas untuk menghabiskan baki perlawanan musim ini.
”Harry tidak akan diturunkan nanti (menentang Chelsea), dia berdepan dengan kecederaan pada lututnya. Harry tidak turun latihan beberapa hari ini. Tiada apa yang perlu dibimbangkan,” kata Rangnick.
Bagaimanapun, dalam laporan Sportsmail, kecederaan yang dialami Maguire mungkin serius dan dia berisiko terlepas semua baki 4 perlawanan liga.
Sekiranya laporan berkenaan sahih, ia menjadi satu lagi detik hitam buat Harry yang mana dia berdepan dengan kritikan selepas aksi dibawah prestasi sebenar yang dipamerkannya sepanjang musim ini.
Sebagai kapten pasukan, Harry merupakan individu yang paling banyak dikritik, bukan sahaja oleh peminat kelab malah menjadi mangsa kecaman terbuka pengkritik-pengkritik bola di kaca televisyen. Malah, beliau seringkali menjadi bahan jenaka peminat lawan setiap kali MU tampil hambar di atas padang, lebih-lebih lagi ketika kelab menanggung kekalahan.
Bagaimanapun, dalam temubual pra-perlawanan menentang Liverpool, beliau tampil menjawab kritikan tersebut.
“Saya tidak akan bermain semua perlawanan Mu dan diturunkan dalam kesebelasan utama oleh semua jurulatih sekiranya saya bermain teruk.
“Sudah tentu, mereka semua (jurulatih) mempunyai alasan untuk menurunkan saya dalam setiap perlawanan. Namun sebagai kapten kelab, saya memahaminya (kritikan peminat) kerana saya didatangkan dengan tanda harga yang tinggi, jadi sudah tentu jika situasi kelab tidak berapa baik, maka saya akan dikritik.” katanya.
Terdahulu, selepas tewas 4-0 kepada musuh tradisi, Liverpool dalam pusingan kedua liga di Anfield, Harry dilapor menerima ancaman bom daripada individu yang tidak diketahui. Dalam email yang diterimanya, individu berkenaan mengancam untuk meletupkan rumahnya sekiranya dia tidak meninggalkan kelab dalam tempoh 72 jam.
Sumber: Daily Mail