Kanak-Kanak 4 Tahun Meninggal Dunia, Tubuh Dipenuhi Ribuan Cacing
JAWA BARAT — Seorang kanak-kanak perempuan berusia empat tahun meninggal dunia dalam keadaan tubuhnya dipercayai dipenuhi ribuan cacing, lapor CNN Indonesia.
Insiden tular itu dilaporkan berlaku di Kampung Padangenyang, Desa Cinaga, Kecamatan Kabandunga, Kabupaten Sukabumi, Jawa Barat di Indonesia.
Sebelum ini, kisah tragis itu tular selepas sebuah video berdurasi sembilan minit memaparkan keadaan mangsa yang dirawat di unit rawatan rapi (ICU).
Menurut salah seorang ahli keluarga mangsa, menceritakan bahawa sempat menyaksikan sendiri seekor cacing sepanjang 15 sentimeter keluar dari hidungnya di ICU.
“Pada mulanya saya ingat itu alat perubatan, rupanya cacing hidup,” katanya, dipetik dari detikJabar.
Ibu saudara mangsa pula memberitahu bahawa kanak-kanak itu sempat bermain bersama rakan sebaya sehari sebelum jatuh sakit. Namun tahap kesihatannya merosot mendadak dalam beberapa hari sebelum dirujuk ke klinik.
“Ahli keluarga hanya mengetahui keadaan tubuh Raya yang dipenuhi cacing selepas dia meninggal dunia,” katanya.
Tambahnya, dia memberitahu mangsa setiap hari gemar bermain di tanah dan di dapur
Sementara itu, ibu mangsa menyatakan mangsa tidak pernah dibawa ke pusat kesihatan masyarakat.
Sepanjang sakit, anak bongsunya hanya dirawat dengan kaedah tradisional.
“Kalau sakit biasanya dimandikan dengan air panas atau guna daun ubi kayu. Baru tahu kemudian rupanya ada cacing besar dalam perutnya,” katanya.
Sumber: CNN Indonesia