Nasib malang menimpa seorang kanak-kanak berusia 12 tahun apabila dia mendakwa menjadi mangsa rogol 15 lelaki dalam kejadian yang berlaku di dua buah kediaman berasingan di Kemaman, Ahad lalu.
Memetik laporan Sinar Harian, Ketua Polis Kemaman, Superintendan Hanyan Ramlan berkata, mangsa Tahun Enam itu mendakwa dirogol pada hari kejadian antara jam 4 petang dan 3 pagi oleh lelaki berusia 12 hingga 19 tahun.
“Mangsa dikatakan dibawa suspek ke salah sebuah kediaman lain terletak kira-kira dua kilometer dari lokasi kediaman pertama.
“Mangsa turut mendakwa dirogol seorang kenalan yang baru dua hari dikenali menerusi aplikasi pesanan WhatsApp,” katanya seperti memetik laporan Sinar Harian.
Kata beliau, kejadian tersebut terbongkar apabila mangsa didesak oleh ahli keluarganya menceritakan kejadian sebenar setelah tidak pulang ke rumah selama dua hari.
“Setelah didesak, mangsa akhirnya menceritakan kejadian sebenar yang menimpanya.
“Sebaik mengetahui perkara itu, mangsa dibawa membuat laporan polis pada Selasa,” katanya memetik laporan Sinar Harian.
Susulan laporan itu, pihak polis telah menahan seramai 10 lelaki pada petang semalam termasuk seorang penganggur berusia 19 tahun bagi membantu siasatan.
Kesemua suspek direman sehingga Ahad dan pihak polis sedang mengumpul maklumat mengenai lima lagi suspek kejadian.
Menurut Hanyan, hasil pemeriksaan di Hospital Kemaman mendapati kanak-kanak itu mengalami kesan koyakan pada bahagian kemaluan.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana rogol.
Sumber: Sinar Harian