Baru-baru ini tular mengenai kisah seorang individu yang didakwa menjalankan aktiviti perniagaan menjual burung merpati ‘pelangi’.
‘Pelangi’ yang dimaksudkan adalah corak bulu pada badan burung tersebut yang diwarnakan dengan penyembur cat beraneka warna.
Perniagaan ‘unik’ tersebut turut dilaporkan oleh Bernama beberapa hari lepas, namun terdapat pelbagai maklum balas berbeza timbul daripada kalangan warganet.
Difahamkan, ada yang memuji peniaga itu dengan mendakwa ia adalah sesuatu yang kreatif, namun ada juga yang berpendapat ‘sebaliknya’.
BACA JUGA: ‘Merpati Pelangi’ Raih Rezeki Berganda Buat Ismail
‘Kami tak sokong atau benarkan produk kami disalahguna’
Terbaharu, kisah merpati pelangi tersebut tular hingga sampai ke pengetahuan salah sebuah syarikat pengeluar cat di negara ini, iaitu Samurai 2K Aerosol.
Bagaimanapun syarikat tersebut didakwa tidak menyokong perbuatan individu tersebut, malah jauh sekali membenarkan produknya disalahgunakan.
“Penafian. Kami di Samurai 2K Aerosol TIDAK sama sekali menyokong atau membenarkan produk-produk keluaran kami digunakan ke atas haiwan-haiwan, tidak kira dalam apa jua keadaan sekalipun.
“Pihak Samurai juga tidak akan bertanggungjawab atas apa-apa yang terjadi disebabkan penyalahgunaan yang melibatkan produk kami, terutamanya jika digunakan ke atas haiwan-haiwan.
“Pihak Samurai memohon agar pengguna-pengguna mengambil tanggungjawab untuk melindungi dan menjaga kebajikan haiwan-haiwan ini bersama-sama,” maklum syarikat tersebut dalam satu kenyataan semalam.
Sumber: Samurai Paint, Malaysia