Sekumpulan penyelidik dari China baru-baru ini menerbitkan satu dapatan kajian yang mencetuskan kontroversi apabila mendakwa COVID-19 mungkin berasal dari India atau Bangladesh.
Laporan berkenaan diterbitkan oleh sekumpulan penyelidik Akademik Sains China yang pantas disanggah oleh rata-rata komuniti sains diseluruh dunia, lapor Daily Star.
Dakwaan berkenaan dikatakan tidak selari dengan konsensus antarabangsa ketika ini yang mana menyebut virus ini pertama kali dikesan di wilayah Wuhan, China penghujung 2019.
Selain India dan Bangladesh, laporan kajian penyelidik China itu turut memasukkan Rusia, Australia, Serbia, Itali, Greece, Amerika Syarikat dan Republik Czech sebagai pusat kemungkinan virus itu bermula.
Munurut laporan lagi, penyelidik ini membuat kajian bagi menentukan asal-usul virus dengan meneliti DNA pada virus COVID-19 setiap kali ia bermutasi.
Daripada kajian berkenaan, mereka menyimpulkan bahawa COVID-19 ini mungkin berasal dari salah sebuah daripada 9 buah negara yang dinyatakan di atas.
Salah seorang daripada penyelidik tersebut turut berpendapat bahawa India dan Bangladesh negara dengan kemungkinan yang tinggi, memandangkan dari sudut geografi, kedua-dua negara ini berdekatan dengan China.
Laporan tersebut turut mencadangkan gelombang haba pada awal 2019, mungkin menyebabkan peningkatan interaksi manusia dengan haiwan, mungkin menjadi faktor penyebab wabak ini muncul.
”Bermula dari Mei hingga Jun 2019, gelombang haba kedua terpanjang direkodkan berlaku di selatan India dan Pakistan, dimana ia menyebabkan berlakunya krisis air yang teruk di kawasan tersebut.
”Kekurangan sumber air ini boleh menyebabkan haiwan seperti monyet berebut sesama sendiri dan juga haiwan lain, dan sudah tentu kemungkinan untuk pertembungan haiwan dengan manusia meningkat dalam situasi tersebut.
”Kami berspekulasi bahawa pertembungan haiwan dengan manusia ketika gelombang haba ini mungkin menyebabkan perpindahkan SARS-CoV-2,” kata laporan itu lagi seperti dilaporkan Daily Star.
Kumpulan penyelidik berkenaan turut menyebut bahawa virus ini mungkin sudah merebak dibeberapa buah negara lain sebelum ia dikesan di China.
Menutup laporan berkenaan, kumpulan penyelidik itu berkata pandemik COVID-19 adalah sesuatu yang tidak boleh dielakkan dan Wuhan hanyalah sebahagian daripadanya.
Sumber: Daily Star