
Jurutera Didakwa Memandu Ketika Mabuk Sehingga Sebabkan Kematian Dua Guru
BUTTERWORTH, 17 Jan (Bernama) — Seorang jurutera dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan memandu dalam keadaan mabuk sehingga menyebabkan kematian dua guru lelaki pada Disember tahun lepas.
Tertuduh, 47, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Siti Zulaikha Nordin@Ghani.
Dia didakwa memandu dalam keadaan paras alkohol di dalam badannya melebihi had ditetapkan dan menyebabkan kematian Muhammed Ahsan Mohamed Ayub, 32, dan Muhammad Fakhrul Rodzi Fauzi, 31, apabila terlibat dalam kemalangan pada kira-kira 2.30 pagi 16 Dis 2023 di Jalan Permatang Baru dekat sini.
BACA: KPM Zahir Dukacita Pemergian Dua Guru Terlibat Kemalangan Di LPT2
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 44(1)(b) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang membawa hukuman penjara minimum sepuluh tahun dan maksimum 15 tahun serta denda minimum RM8,000 dan maksimum RM100,000 jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya Nurameera Shahrul Azrin menawarkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin manakala peguam Chew Anthony memohon jumlah minimum atas alasan tertuduh seorang duda dan terpaksa menanggung tiga anak masih bersekolah serta ibu bapa yang sudah tua.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 7 Mac sebagai tarikh serahan dokumen.
Sumber: BERNAMA
BACA: Kematian Zayn Rayyan Diklasifikasikan Sebagai Kes Bunuh – Ketua Polis Selangor