Jurulatih Kelab Serbia Meninggal Lepas Rebah Tepi Padang, Reaksi Pemain Buat Ramai Sebak
Serbia — Ketua Jurulatih FK Radnicki 1923, Mladen Zizovic meninggal dunia selepas rebah di tepi padang semasa perlawanan di Mladost Lucani pada Isnin.
Memetik laporan BBC Sport, Zizovic menerima rawatan di tempat kejadian sebelum dibawa ke hospital.
Perlawanan SuperLiga Serbia itu diteruskan tetapi terhenti sejurus Zizovic disahkan meninggal dunia.
Rakaman yang tular menunjukkan pemain dan pegawai dari kedua-dua pasukan terkesan dengan berita duka itu, dengan para pemain dilihat tertunduk menangis.
“Kelab kami bukan sahaja kehilangan seorang jurulatih yang hebat tetapi seorang lelaki yang baik, kawan dan ahli sukan yang berpengetahuan. Pemergian beliau telah meninggalkan kesan yang mendalam di hati semua yang mengenalinya,” kata kelab FK Radnicki 1923 dalam satu kenyataan.
Sementara itu, Persatuan Bola Sepak Bosnia dan Herzegovina menyatakan pemergian Zizovic merupakan satu kehilangan besar kepada arena bola sepak negara, memandangkan beliau dianggap antara tokoh yang benar-benar berjasa dalam bidang itu.
Bekas pemain kebangsaan Bosnia dan Herzegovina berusia 44 tahun itu baru sahaja dilantik sebagai pengurus FK Radnicki 1923 pada 23 Oktober lalu.
Sepanjang kariernya sebagai pemain, Zizovic pernah mewakili beberapa kelab dalam Liga Perdana Bosnia dan Herzegovina, antaranya HSK Zrinjski Mostar, FK Radnik Bijeljina dan FK Borac Banja Luka.
Selepas bersara, beliau meneruskan penglibatan dalam bola sepak sebagai jurulatih, membimbing beberapa kelab di Bosnia dan Herzegovina serta di rantau sekitarnya.
Pemergian beliau disifatkan sebagai satu kehilangan besar buat bola sepak Bosnia dan Herzegovina.
Beberapa kelab terkemuka turut menzahirkan penghormatan terakhir, termasuk Red Star Belgrade yang menyampaikan ucapan takziah yang mendalam kepada keluarga dan rakan-rakan mendiang.
Sumber: BBC Sport