Kementerian Kesihatan Malaysia(KKM) menerusi Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah memaklumkan sebanyak 62 kes baru COVID-19 dilaporkan hari ini.
Sebanyak 62 kes baharu yang dilaporkan hari ini telah menjadikan jumlah kumulatif kes COVID-19 di Malaysia telah mencecah lima angka iaitu 10,031.
Selain itu, dimaklumkan juga bahawa kes aktif iaitu kes dengan kebolehjangkitan COVID-19 dan kes positif COVID-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) didapati meningkat.
Berdasarkan data terkini bagi 15 orang pesakit COVID-19 di Unit Rawatan Rapi (ICU), didapati:
Tiga (3) pesakit memerlukan bantuan pernafasan;
Enam (6) pesakit merupakan warga emas berusia 60 tahun dan ke atas;
Sembilan (9) pesakit adalah dalam lingkungan umur 21 sehingga 56 tahun;
Sembilan (9) pesakit adalah daripada Kluster Sungai;
10 pesakit didapati mempunyai latar belakang penyakit kronik; dan
14 pesakit mendapat jangkitan dari dalam negara manakala satu (1) pesakit mendapat jangkitan dari luar negara. Kesemua pesakit adalah warganegara Malaysia.
Walaupun warga emas merupakan antara golongan yang terkesan akibat wabak ini, namun golongan muda yang mempunyai penyakit kronik juga turut dikesan mempunyai gejala, penyakit dan komplikasi hingga ada yang perlu dimasukkan ke dalam ICU untuk pemantauan.
Oleh itu, orang ramai digesa agar sentiasa patuh kepada Prosedur Standard Operasi (SOP) dan mengamalkan kebiasaan baru bagi mencegah penularan COVID-19.
Sumber: Noor Hisham Abdullah