Johnny Depp Dedah Tidak Lagi Berminat Mainkan Watak Jack Sparrow – Laporan
Pelakon terkenal Johnny Depp mendedahkan tidak lagi berminat untuk bekerjasama dengan Disney dalam francais Pirates of the Caribbean walaupun ditawarkan hampir RM93 juta, lapor Daily Mail.
Difahamkan, pelakon yang sinonim dengan watak Jack Sparrow itu dikatakan kecewa dengan tindakan studio tersebut ‘memecatnya’ semasa bekas isterinya, Amber Heard menuduhnya melakukan penderaan rumah tangga pada 2016.
Menurut laporan, Depp telah ditawarkan sebanyak RM92 juta untuk memainkan semula watak Jack Sparrow namun beliau tidak bercadang untuk menjalinkan kerjasama lagi bersama Disney.
Sebelum ini, Presiden Studio Disney Sea Bailey mengatakan pihaknya tidak komited mengenai kepulangan Depp.
Tindakan itu dianggap sebagai satu percubaan untuk memberi Depp masa menimbangkannnya berikutan dengan kemenangan ke atas dakwaan Heard.
Pun begitu, sumber rapat bintang itu mengatakan bahawa Depp tidak berminat untuk muncul dalam filem Disney selepas berfikir pada malam hari lahirnya pada Jumaat lalu.
Rakan artis itu berkata Depp telah memutuskan tidak kira betapa lumayan tawaran itu atau betapa hebatnya peranan tersebut, dia tidak akan bersetuju untuk kembali kepada studio itu.
Jelasnya, Depp juga kemungkinan tidak akan tergoda untuk membuat filem dan berlakon bersama Disney.
Lebih tumpu kepada diri sendiri
Selepas bertarung (kes dengan Heard) selama lima tahun, Depp kini lebih menumpukan perhatian penuh terhadap minatnya kepada muzik, seni dan filem.
“Dia mengatakan tidak berminat untuk bercakap menggunakan kata-kata orang lain. Dia berminat dengan ekspresi yang ditonjolkan oleh dirinya, melalui seni dan muzik pada masa ini.
“Dia langsung tidak berminat dengan Hollywood,” kata sumber rapat.
Sebelum ini, media melaporkan Depp tidak lagi ‘memerlukan’ Hollywood rentetan isu peribadinya bersama Heard dengan kariernya.
Pelakon berusia 59 tahun itu bagaimanapun dilihat tidak mengambil tahu dengan kritikan atau persepsinya dalam industri.
“Saya tidak rasa diboikot oleh Hollywood, kerana saya tidak fikir tentang Hollywood,” ujarnya.
Depp berkata bahawa dia hanya mahu memberi tumpuan untuk mempromosikan filem baharunya serta tugasan lakonan sambil menambah bahawa dia tidak akan ke mana-mana.
Sumber: Daily Mail
BACA: ‘Saya Tak Perlukan Hollywood Lagi’ – Johnny Depp