Penduduk Shanghai di China terpaksa jalani dua pusingan ujian Covid-19 secara besar-besaran selepas jangkitan virus dikesan dipercayai merebak di sebuah pusat karaoke, lapor TRTWorld.
Menurut laporan, sebanyak 25 juta penduduk di wilayah itu perlu turun padang menjalani ujian Covid-19 masing-masing dalam tempoh tiga hari bermula Selasa hingga Khamis bagi setiap daerah sehingga akhir Julai ini.
Gesaan menjalani ujian wabak tersebut yang meliputi semua penduduk di kesemua 16 daerah di wilayah berkenaan diarahkan oleh datuk bandar menerusi satu kenyataan di akaun rasmi WeChat miliknya.
“Ujian itu perlu dilakukan kerana pelbagai jangkitan Covid dikaitkan dengan pusat karaoke itu setelah dikunjungi oleh penduduk dari beberapa daerah.
“Tiada isi rumah atau orang yang boleh terlepas,” katanya, memetik laporan TRTWorld.
Sehubungan itu, penduduk yang tinggal di daerah terjejas dikehendaki menunjukkan status ujian masing-masing yang diambil sekurang-kurangnya dua hari sebelum meninggalkan rumah mereka.
Ekoran pelancaran ujian Covid secara ‘berjemaah’ itu, bandar besar tersebut terpaksa ditutup kerana termaktub dalam sebahagian daripada Dasar Sifar-Covid bagi menurunkan bilangan kes, walaupun ia mencetuskan kemarahan rakyat dan ekonomi terjejas.
Difahamkan, rakyat Shanghai juga perlu terus menjalani ujian wabak itu dalam tempoh tiga hari sekali sebelum memasuki kawasan awam seperti pusat beli-belah dan pengangkutan awam.
Walaupun kerajaan telah menarik balik penutupan (lockdown) selama dua bulan ke atas bandar itu, namun ia masih mengenakan sekatan sekiranya kes Covid-19 dikesan di luar pusat kuarantin.
Dalam pada itu, menurut seorang pengawai kerajaan di bandar barat laut Xian, sebanyak 18 kes jangkitan oleh varian BA.5.2. dikesan seperti yang dilapor TRTWorld.
Oleh itu, bermula Rabu, kerajaan akan menyekat mana-mana aktiviti hiburan, kedai makan dan majlis selama tujuh hari ekoran jangkitan yang dikesan tersebut.
Sehingga kini, Shanghai melaporkan sebanyak lapan kes Covid tempatan terbaharu pada Isnin, iaitu tujuh daripadanya dipercayai berasal dari pusat kuarantin.
Sebelum ini, Shanghai terpaksa melaksanakan perintah berkurung semula (lockdown) kira-kira tiga bulan lalu selepas kes Covid-19 didapati kembali meningkat.
Merujuk laporan terdahulu, bagaimanapun sebilangan penduduk di sana dipercayai seakan tidak mengambil kisah tentang bahaya kenaikan kes jangkitan berkenaan.
Menurut rekod terdahulu pada Mei, kes Covid-19 di China menunjukkan peningkatan apabila hampir 30 juta kes direkodkan, menjadikannya paling tinggi pernah direkodkan sejak virus berkenaan muncul di Wuhan pada 2019.
BACA JUGA: Shanghai Laksana Lockdown, Penduduk ‘Degil’ Tak Mahu Kuarantin Terpaksa ‘Dihukum’
Sumber: TRTWORLD