“Jangan Kecam Cikgu Itu,” Bapa Mohon Semua Pihak Henti Kecam Tindakan Jurulatih
Keluarga atlet bola tampar remaja yang didakwa ditampar oleh jurulatihnya seperti yang tular di media sosial memohon agar semua pihak menghentikan kecaman mahupun tindakan ke atas jurulatih tersebut.
Menurut Astro Awani, bapa kepada salah seorang atlet yang terlibat dalam insiden berkenaan berkata dia yakin bahawa tindakan jurulatih yang juga seorang guru itu hanya untuk memberikan pelajaran terbaik kepada pemain serta pasukan.
Menurutnya lagi, perkara itu telah diselesaikan lebih awal antara keluarga atlet dan jurulatih tersebut.
Bapa atlet tersebut berkata demikian ketika ditemui di kediamannya di Alor Gajah. Katanya lagi, dia sudah dimaklumkan berkenaan tindakan guru tersebut yang menampar anaknya pada perlawanan yang berlangsung 16 Disember lalu.
Jelasnya, dia tidak mengambil serius berhubung kejadian itu memandangkan anaknya tidak mengalami sebarang kecederaan mahupun meninggalkan kesan emosi kepada anak serta rakan atlet yang lain.
Malahan keluarga atlet itu juga dikatakan telah bertemu dengan keluarga seorang lagi atlet yang turut didakwa ditampar oleh jurulatih berkenaan.
Keluarga atlet itu juga turut memaklumkan tidak mahu memanjangkan lagi isu ini kerana jurulatih itu dikatakan seorang jurulatih yang disenangi oleh pasukan.
“Ini mungkin kali pertama dia buat, takkan silap sikit nak berhenti, buang dia kerja, maksud saya anak saya tak ada apa-apa, kalau anak saya dengan kawan dia tu memang cedera, memang patut lah dia diambil tindakan, memang tak ada apa-apa.
Baca: Kebanyakan ‘Owner’ Terlepas Pandang, 5 Perkara Penting Kena Teliti Sebelum Perbaharui Insurans Motosikal
“Anak saya pun tak ada luah apa-apa, dia kata tak kisah, dia kata dia pernah cakap dengan Jabatan Pendidikan hari itu datang, game kedua ketiga mereka tambah semangat, bukan takut, tapi bertambah semangat.
“Macam ibarat memberi bangun mereka daripada tidur, walaupun tamparan itu, memang tak kuat pun, tapi anak saya kata semangat, cuma kemenangan itu berpihak kepada dia,” katanya kepada Astro Awani ketika ditemui hari ini.
Mengulas lanjut berkenaan insiden itu, dia mengakui agak terkejut selepas kejadian itu menjadi tular dan mendapat perhatian kepimpinan tertinggi Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan juga Kementerian Pendidikan (KPM).
Malah menurutnya, dia tidak bersetuju dengan tindakan yang dikenakan oleh Persatuan Bola Tampar Malaysia (MAVA) untuk menggantung penglibatan jurulatih itu dalam sukan bola tampar kebangsaan.
Bapa atlet tersebut mempertahankan jurulatih berkenaan kerana dia telah banyak berkorban bagi membawa pasukan bola tampar negeri hingga ke tahap yang membanggakan ini.
“Saya nak jabatan, kementerian jangan kecam cikgu itu teruk sangat, kalau boleh cikgu itu jadi balik semula jurulatih untuk anak saya, dan anak-anak saya dan kedua belah pihak pun setuju,” katanya lagi.
Terdahulu, kejadian jurulatih menampar dua pemain pasukan Melaka sewaktu Kejohanan Bola Tampar Remaja bawah 14 tahun menjadi tular ekoran tersebarnya video kejadian tersebut.
Insiden itu juga telah mendapat perhatian beberapa pihak termasuklah Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh serta mantannya, Datuk Seri Faizal Azumu, yang menyelar tindakan jurulatih berkenaan.
Selain itu, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata pihaknya masih berusaha untuk mendapatkan butiran lanjut mengenai insiden tular itu yang melibatkan pelajar bawah umur.
MAVA juga telah mengambil keputusan tegas untuk menggantung jurulatih berkenaan sehingga siasatan menyuluruh insiden tersebut selesai.
Sumber: Astro Awani