Tular baru-baru ini tentang keraguan produk makanan dalam tin iaitu produk sos Sardin tentang isu halal yang dipertikaikan oleh orang ramai. Tujuan JAKIM ingin menjelaskan isu ini adalah untuk mengelakkan daripada orang ramai terus dibelenggu kekeliruan.
Untuk lebih faham, di bawah adalah kenyataan daripada pihak Bahagian hab Halal Jakim menjawab isu yang tular tersebut.

Kenyataan daripada Bahagian Hab Halal JAKIM
Pihak kami sering menerima pertanyaan berkenaan isu status halal produk sos sardin pelbagai jenama yang berada di pasaran. Tidak dapat dinafikan, kebanyakan sos sardin yang berada di pasaran tempatan diimport dari luar negara.
Terkini, terdapat segelintir netizen yang mula menularkan isu pertikaian status halal produk sos sardin jenama Siri Jawi yang didakwa menggunakan logo halal generik pada label produk tersebut.
Berdasarkan semakan pihak kami, produk sos sardin yang diimport oleh syarikat Siri Jawi Enterprise (M) Sdn Bhd beralamat di Taman Industri Selayang Utama, Batu Caves, Selangor merupakan pemegang sijil halal Shandong Halal Certification Service (SHC).
Untuk makluman pengguna, Shandong Halal Certification Service (SHC) merupakan badan pensijilan halal luar negara yang menjalankan operasi pensijilan halal di negara China.
Berkenaan isu penggunaan logo halal generik pada label produk tersebut, ianya merupakan label pada stok lama dan telah diambil tindakan lanjut oleh pihak syarikat agar tidak membawa kepada kekeliruan awam.
Stok terkini label produk berkenaan telah dicetak dengan logo halal Shandong Halal Certification Service (SHC) seterusnya menepati keperluan undang-undang berkaitan halal yang telah ditetapkan di negara ini.
Justeru, masyarakat pengguna dinasihatkan agar lebih berwaspada sebelum menularkan sebarang berita berkaitan isu halal yang tidak diketahui status kebenarannya dengan merujuk pihak berautoriti agar tidak terjebak ke kancah fitnah dan salah faham sesama ummah yang akan menjejaskan keharmonian negara.
Untuk mengetahui produk dan premis makanan yang memiliki Sijil Pengesahan Halal Malaysia, sila layari Portal Rasmi Halal Malaysia di www.halal.gov.my. Semakan juga boleh dilakukan melalui aplikasi telefon pintar SmartHalal (http://www.smarthalal.com.my/faq.html)
Ikuti penjelasan berkenaan isu-isu halal yang tular di http://bit.ly/PenjelasanIsuHalalTular dan muat turun senarai penuh logo-logo halal luar negara yang diiktiraf oleh JAKIM di http://bit.ly/DownloadPDFLogoHalalLuarNegara.
Sumber: Bahagian Hab Halal JAKIM