Thailand dilaporkan akan menutup ratusan tapak pembinaan dan melarang pekerja meninggalkan kem yang menjadi tempat tinggal mereka selama sebulan, kata Perdana Menterinya pada Jumaat, sebagai langkah untuk membendung penularan wabak COVID-19 yang terburuk di negara itu setakat ini.
Arahan tersebut dikuatkuasakan selepas kluster baru dikesan di 575 tapak pembinaan di Bangkok yang menempatkan sekitar 81,000 orang pekerja.
Menurut CNA, sejak dari bulan Mei, sebanyak 37 kluster telah dikesan tercetus di kem di Bangkok.
Tapak pembinaan di beberapa wilayah berhampiran Bangkok dan empat di selatan yang berhampiran Malaysia juga akan ditutup mulai minggu depan.
“Ayuh kita laksanakan pelan ini selama sebulan. Keadaan diharapkan akan bertambah baik kemudian,” kata Perdana Menteri Prayut Chan-o-cha kepada wartawan.
Kementerian Buruh akan membayar ganti rugi bagi kos menghentikan projek pembinaan, katanya.
Mneteri Buruh Suchart Chomklin berkata polis akan memeriksa kem untuk keselamatan dan memastikan tiada sesiapa yang keluar, sementara pihak berkuasa melakukan ujian saringan COVID-19 kepada semua orang di kem tersebut. Kebanyakan penduduk kem itu adalah pekerja migran.
Perincian berkenaan langkah-langkah yang mensasarkan perniagaan dan kawasan tertentu dijangkan akan diumumkan sebelum Isnin, kata Prayut, sambil menambah bahawa dia tidak mahu langkah ‘lockdown’ itu menjadi sia-sia dan menyeru kepada semua orang agar membataskan pergerakan masing-masing.
Sumber: CNA