Israel dilaporkan telah merekodkan kes pertama Florona yang merupakan jangkitan berganda COVID-19 dan influenza.
Memetik laporan Business Insider, kes pertama tersebut telah dikesan di negara itu pada 31 Disember 2021 pada seorang wanita yang baru bersalin dan tidak mendapat suntikan vaksinasi COVID-19.
Difahamkan, Florona bukan penyakit yang baru ditemui dan bukan disebabkan oleh virus yang berbeza tetapi ia merupakan gabungan selesema dan koronavirus.
Bukan varian baharu
Jangkitan baharu ini bukan varian atau mutan novel COVID-19 kerana apabila kedua-dua influenza dan COVID-19 hadir dalam badan pada masa yang sama, ia dianggap sebagai penyakit Florona.
Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Florona juga ‘menyerang’ sistem pernafasan manusia dan mempunyai simptom yang lebih kurang sama seperti influenza dan COVID-19. Namun, simptom-simptom tersebut berbeza bagi setiap orang.
Antara simptomnya adalah kehilangan rasa dan bau, selesema dan batuk, sesak nafas, hilang selera makan dan sakit dada yang berterusan.
COVID-19 dan influenza boleh merebak dalam masa yang sama apabila zarah aerosol yang tercemar dengan virus itu dikeluarkan oleh orang yang dijangkiti semasa batuk, bercakap atau bersin dan orang yang sihat yang menghirup udara yang dijangkiti itu.
Kebiasaannya, ia mengambil masa sekitar dua hingga 10 hari untuk gejala muncul selepas dijangkiti virus dan risiko penyebaran virus kepada orang lain adalah lebih besar pada hari permulaan jangkitan itu.
Sementara itu, Israel juga mula memberikan suntikan keempat kepada rakyatnya yang mempunyai sistem imun yang terjejas, lapor Timesnownews.
Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan, Nachman Ash bersetuju untuk memberikan dos penggalak akibat gelombang jangkitan Omicron. Ia boleh diberikan sekurangnya-kurangnya empat bulan setelah suntikan ketiga.
Kes COVID-19 dilaporkan meningkat secara berterusan di negara itu dengan hampir 5,000 kes baharu dikesan pada Khamis minggu lalu.
Sumber: Business Insider, Timesnownews