Ibunda bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak iaitu Tun Rahah Mohamed Noah telah menghembuskan nafasnya yang terakhir hari ini.
Sosok tubuh balu kepada Perdana Menteri Malaysia kedua, Tun Abdul Razak Datuk Hussein itu meninggal dunia pada usia 87 tahun di Pusat Perubatan Prince Court, Kuala Lumpur hari ini.
Pemergiannya begitu ditangisi, lebih-lebih lagi Najib Razak yang sejak semalam menzahirkan kebimbangan berkenaan tahap kesihatan ibundanya itu.
Salam takziah diucapkan buat almarhumah Tun Rahah, semoga rohnya ditempatkan dalam kalangan orang-orang beriman. Al-Fatihah (dibaca).
Najib bersama arwah ibunda tercinta, Tun Rahah | Gambar: BERNAMASementara itu, sepupu Najib, Hishammuddin Hussein turut berkongsi sedikit kisah silam tentang kenangan bersama ibu saudaranya itu.
“Tun Rahah Mohamed Noah ibu saudara yang saya cukup rapat. Banyak masa saya membesar di bawah penjagaan beliau. Insan ini amat penyayang, prihatin, baik hati dan tabah.
Ketika Allahyarham Tun Abdul Razak meninggal dunia, Tun Rahah baru berusia 43 tahun. Saya kagum dengan kecekalan beliau membesarkan lima anak lelaki yang juga sepupu saya sendiri,” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.
Jelas Hishammuddin, beliau turut berkesempatan menziarahi almarhumah beberapa kali sebelum ini, sehinggalah buat kali yang terakhir semalam.
“Saya kerap ziarah beliau dalam beberapa bulan ini termasuklah yang terbaru semalam. Tidak dapat digambarkan dengan kata-kata betapa sedihnya saya apabila dimaklumkan beliau telah pergi buat selama-lamanya.
“Apa yang saya rasai ketika ini sama seperti ketika Allahyarhamah bonda saya menghembuskan nafas terakhir enam tahun lalu,” tambahnya lagi.
Kenangan Hishammuddin bersama arwah satu ketika dulu | Gambar: HishammuddinAtas kesedihan yang menimpa, Hishammuddin mengucapkan ucapan takziah buat sepupunya, Najib Razak serta adik-beradiknya atas pemergian ibunda tercinta mereka.
Dalam masa sama, Hishammuddin juga turut menitipkan doa kesejahteraan buat arwah agar kembalinya ke sisi Tuhan dalam jalan yang dirahmatiNya.
“Takziah kepada seluruh ahli keluarga dan sepupu-sepupu saya, Najib Razak, Nazir, Nizam, Nazim dan Johari atas kehilangan bonda tercinta.
“Ya Allah ya tuhanku yang Maha Penyayang lagi Maha Pengampun. Ampunilah dosa ibu saudaraku ini, terimalah setiap amal kebaikannya dan tempatkanlah ibu saudaraku ini bersama para hambaMu yang diredai.
“Amin ya rabbal a’lamin. Al-Fatihah,” ucapnya.
Kenangan Hishammuddin bersama arwah satu ketika dulu | Gambar: HishammuddinSumber: Facebook Hishammuddin Hussein