Keputusan pemain badminton perseorangan utama negara, Lee Zii Jia yang mahu meninggalkan kem kebangsaan dibawah Persatuan Badminton Malaysia (BAM) nyata mengejutkan semua pihak.
Selain menjadi perhatian peminat sukan badminton tempatan, berita ini juga turut mendapat liputan meluas media antarabangsa, apatah lagi Zii Jia adalah salah seorang bintang elit yang aksinya seringkali menjadi “highlight” dalam kejohanan-kejohanan utama sukan itu diperingkat global.
Malah, seteru utama Zii Jia di dalam gelangggang yang juga jaguh perseorangan Denmark, Victor Axelsen turut secara terbuka berkongsi pendapatnya mengenai apa yang terjadi terhadap pesaing utamanya itu.
Malah, beliau turut berpendapat apa yang terjadi adalah satu kegilaan dan tertanya-tanya apakah ini yang dimahukan dalam sukan ini.
Sementara itu, BAM turut mengadakan satu sidang media petang tadi bagi menjelaskan situasi yang berlaku ketika ini dan keputusan yang diambil pihaknya terhadap Zii Jia.
Menurut laporan BERNAMA, Timbalan Presiden BAM Datuk Seri Jahaberdeen Mohamed Yunood berkata pihaknya tidak akan mendaftarkan Zii Jia untuk mana-mana kejohanan untuk tempoh dua tahun, bermula 18 Jan.
Jahaberdeen yang juga Pengerusi Jawatankuasa Penasihat Perundangan BAM berkata persatuan itu telah pun mengadakan beberapa siri perbincangan bersama pemain nombor tujuh dunia itu, sejak beliau menghantarkan surat peletakan jawatannya pada 11 Jan.
“Bagaimanapun Zii Jia tetap dengan keputusannya, dan pada satu daripada perbincangan tersebut berkata yang beliau tidak dapat tahan tekanan berada di dalam skuad kebangsaan dan gaya hidup ditetapkan di Akademi Badminton Malaysia (ABM), disamping memberikan beberapa terma, yang kami tolak.
“Terma tersebut adalah untuk beliau mempunyai pasukan kejurulatihannya dan kakitangan sokongannya sendiri, merancang kejohannnya sendiri dan untuk mempunyai penajanya sendiri. Kami dengan berat hati membuat keputusan sukar ini demi kepentingan negara dan kesan kewangan, selepas membimbing pemain ini selama 11 tahun,” katanya.
Selain itu, BAM turut mengenakan penggantungan yang sama terhadap bekas Juara Dunia Remaja, Goh Jin Wei yang secara tiba-tiba meninggalkan BAM atas alasan kesihatan, dengan hukuman yang sama bermula 31 Okt.
Bagaimanapaun BAM tidak bercadang untuk mengenakan sebarang denda terhadap kedua-dua pemain itu. Malah, kedua-dua pemain tersebut pada bila-bila masa boleh membuat rayuan terhadap keputusan penggantungan berkenaan dan pintu untuk mereka kembali kepada BAM masih lagi terbuka.
Untuk beraksi dalam mana-mana kejohanan dunia yang diiktiraf Persatuan Badminton Dunia (BWF), seseorang pemain itu perlu didaftarkan melalui persatuan badminton kebangsaan masing-masing.
Sumber: Viktor Axelsen, BERNAMA