JAKARTA, 8 April (Bernama) — Indonesia mula mempraktikkan ujian COVID-19 menerusi kaedah GeNose C19, sebagai prasyarat bagi mereka yang menggunakan pengangkutan awam untuk merentas provinsi atau wilayah.
GeNoSe C19 merupakan alat buatan Universiti Gadjah Mada (UGM) untuk mengesan virus COVID melalui hembusan nafas dan telah mendapat kelulusan Kementerian Kesihatan Indonesia.
Alat pengesan COVID-19 menggunakan nafas atau disebut juga breathlyzer virus COVID ini telah dikaji dan dibangunkan pelbagai negara seperti Indonesia, Amerika Syarikat, Belanda, Finland, Jerman, Britain, Australia, dan Kanada.
Bermula 5 April lepas, perkhidmatan pemeriksaan COVID menerusi GeNose (selain ujian calitan, ujian antigen dan rapid test (ujian darah) mula dilaksanakan di stesen-stesen kereta api di Indonesia.
Naib Presiden Hubungan Masyarakat syarikat pengendali kereta api Indonesia, PT Keretapi Indonesia, Joni Martinus dalam kenyataan berkata perkhidmatan GeNose C19 di 44 stesen kereta api itu mengenakan bayaran sebanyak Rp30,000 (RM9).
Hasil GeNose C19 itu dapat diperoleh dalam tempoh kurang 24 jam.
Bermula hari ini, Lapangan Terbang Antarabangsa Ngurah Rai di Pulau Bali, juga mengadakan perkhidmatan itu dengan menawarkan pilihan untuk penumpang pesawat selain ujian calitan, antigen atau rapid test.
Pegawai Hubungan Masyarakat PT Angkasa Pura Ngurah Rai, Taufan Yudistira dalam kenyataan berkata pelaksanaan itu adalah selaras dengan kebenaran Kementerian Perhubungan berkaitan persyaratan perjalanan dalam negeri.
“Kami informasikan mereka yang akan melakukan perjalanan ke atau dari Pulau Bali, wajib menunjukkan hasil negatif atas pemeriksaan menerusi swab test, PCR , Rapid Test Antigen atau hasil negatif GeNose C-19 sebelum keberangkatan,” katanya.
Sumber: BERNAMA