KUALA LUMPUR, 31 Mei (Bernama) — Mana-mana individu yang ditahan polis, perlu dibawa menjalani pemeriksaan kesihatan sebelum dimasukkan ke dalam lokap, kata Ketua Polis Negara Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani.
Beliau berkata arahan kepada pegawai dan anggota polis itu dibuat, bagi memastikan prosedur operasi standard (SOP) pengendalian tahanan dalam lokap ditambah baik.
“PDRM (Polis Diraja Malaysia ) tidak mahu insiden ini (kematian dalam tahanan lokap) berlaku, namun secara dasarnya perkara itu telah ditambah baik sejak akhir-akhir ini.
“Kami memandang serius perkara ini, justeru banyak lagi penambahbaikan akan dilakukan termasuklah pemeriksaan kesihatan dibuat kepada waris terdekat kepada individu disyaki itu,” katanya kepada pemberita dalam sidang media khas di Bukit Aman hari ini.
Acryl Sani berkata, pihaknya turut meminta penglibatan pelbagai pihak termasuk Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC), bagi menyiasat sebarang salah laku oleh anggota dan pegawai yang mengendalikan tahanan lokap.
Ditanya mengenai dakwaan bekas Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador berhubung kewujudan kartel dalam pasukan polis, Acryl Sani berkata pihaknya menyerahkan sepenuhnya siasatan kepada EAIC.
“PDRM meminta EAIC meneliti dan menyiasat perkara itu, berikutan ia merupakan satu tohmahan terhadap pasukan keselamatan ini, dan mereka merupakan suruhanjaya yang layak berbuat demikian. PDRM juga telah menghantar surat permohonan kepada mereka bagi tujuan itu.
“…biarlah pihak ketiga yang buat siasatan secara telus dan memberikan keputusan berhubung isu ini,” katanya.
Sebelum ini, Abdul Hamid pada sidang media terakhirnya sebagai Ketua Polis Negara April lepas menyatakan wujudnya kartel dalam pasukan keselamatan itu, selain cubaan untuk menjatuhkan beliau kerana lantang mendedahkan salah laku, integriti dan rasuah, dalam kalangan pegawai dan anggota pasukan itu.
Sumber: BERNAMA