IESF-WEC: Malaysia Juara Kejohanan Dunia IESF 2025 Dua Tahun Berturut-turut
Skuad Mobile Legends Bang Bang (MLBB) lelaki negara sekali lagi mempertahankan kejuaraan apabila berjaya mengekalkan gelaran juara untuk dua edisi berturut-turut pada Kejuaraan E-Sukan Dunia (WEC) Mobile Legends: Bang Bang, IESF World Championship 2025 yang berlangsung di ibu kota, sebentar tadi.
Kemboja tampil mempamerkan prestasi cemerlang pada pusingan kelayakan, termasuk menewaskan pasukan gergasi dunia, Filipina. Momentum itu turut dibawa sehingga ke peringkat kumpulan dan seterusnya ke pentas grand final.
Namun, skuad negara yang turun sebagai wakil tuan rumah membuktikan keunggulan mereka sebagai juara bertahan. Mereka mencatat rekod bersih tanpa kalah bermula dari peringkat kumpulan hinggalah ke pusingan akhir.
Walaupun menerima tentangan sengit daripada Kemboja dalam Perlawanan 1 dan Perlawanan 2, pasukan negara tetap berjaya mengawal permainan.
Skuad kendalian Michael Angelo Bocado, atau lebih dikenali sebagai Arcadia, dilaporkan telah membuat persiapan rapi dalam strategi draft pick, terutamanya penggunaan meta fighter di posisi gold laner yang digalas Ealtond Rayner, atau Lolealz.
Dominasi skuad negara terus menyerlah dalam Perlawanan 3 apabila mereka mempamerkan aksi agresif dengan keputusan meyakinkan 27-7. Corak permainan pantas dan tersusun itu membolehkan Malaysia menutup saingan grand final dengan kemenangan bersih 3-0.
Untuk rekod, skuad MLBB lelaki negara turut muncul juara dalam edisi 2024 yang disertai 16 pasukan dari seluruh dunia.
BACA: Lain Macam Betul Bila Geng Veteran Ada “Match”
Sumber: Stadium Astro