Seorang wanita warga emas berusia 68 tahun dilaporkan telah ditahan oleh pihak polis selepas didakwa curi telefon bimbit milik anak kandungnya.
Memetik laporan Suara.com, kejadian tersebut berlaku di Cakranegar, Mataram, Nusa Tenggara Barat (NTB), Indonesia.
Menyingkap kisah mengenainya, wanita itu dikatakan telah bekerja sebagai pembantu rumah untuk anaknya sendiri selama bertahun-tahun, namun mendakwa tidak pernah menerima sebarang upah.
Dia diberikan tugas sebagai tukang cuci dan menjaga cucu-cucunya.
“Cucu-cucu yang tinggal bersama saya juga tidak pernah diberi wang belanja,” katanya.
Kerana terlalu terdesak untuk membayar hutang, dia memutuskan untuk mencuri telefon bimbit anaknya.
“Kami telah menahan pelaku di rumahnya dan dia mengaku mencuri telefon bimbit itu,” kata Ketua Polis Sandubaya, Kompol Moh Nasrullah.
Menurut pengakuan wanita itu, dia telah masuk ke dalam bilik anaknya secara senyap-senyap untuk mengambil telefon bimbit dan segera melarikan diri.
Atas kesalahan itu, dia disabitkan di bawah Artikel 367 berkaitan kecurian dalam keluarga.
Bagaimanapun, walau sudah terbukti bahawa wanita itu bersalah, pihak polis memutuskan untuk tidak menahannya, lapor Jambi Ekspres.
“Atas beberapa pertimbangan yang dilakukan, pelaku tidak ditahan tetapi wajib dilaporkan,” kata pegawai polis.
Selain itu, pihaknya juga masih terus berusaha untuk menyelesaikan perkara tersebut secara kekeluargaan.
Sumber: Suara.com, Jambi Ekspres