Hujan Berterusan Tahap Waspada Di Kelantan, Terengganu Dan Pahang Hingga Sabtu
KUALA LUMPUR, 23 Nov (Bernama) — Hujan berterusan tahap waspada dijangka berlaku di beberapa kawasan di Kelantan dan Pahang serta seluruh Terengganu hingga Sabtu ini.
Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) dalam kenyataan hari ini memaklumkan amaran di Kelantan melibatkan kawasan Tumpat, Pasir Mas, Kota Bharu, Jeli, Tanah Merah, Bachok, Machang, Pasir Puteh dan Kuala Krai, manakala Pahang di Kuantan.
Dalam pada itu, METMalaysia turut mengumumkan penamatan amaran hujan berterusan tahap waspada bagi Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan Perak.
“Penamatan amaran hujan berterusan tahap wasapada melibatkan beberapa kawasan di Kedah iaitu Kubang Pasu, Kota Setar, Pokok Sena, Padang Terap, Yan, Pendang, Kuala Muda, Sik, Baling, Kulim dan Bandar Baharu,” menurut kenyataan itu.
Di Perak pula amaran itu ditamatkan bagi kawasan Kerian, Larut, Matang dan Selama, Hulu Perak, Kuala Kangsar dan Manjung.
Sebelum ini, MetMalaysia menjangka hujan berterusan akan berlaku di Kelantan dan Terengganu sehingga esok.
Amaran hujan berterusan tahap waspada turut dikeluarkan bagi Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan Perak yang berlarutan hingga hari ini.
METMalaysia dalam kenyataan sama turut memaklumkan hujan berterusan tahap waspada juga dijangka berlaku di Kelantan melibatkan Jeli, Kuala Krai dan Gua Musang manakala di Pahang melibatkan Jerantut, Maran, Kuantan dan Pekan hingga Jumaat ini.
Sumber: BERNAMA
BACA: Hujan Lebat, Beberapa Kawasan Di Terengganu Dilanda Banjir