Kredit: Facebook

Hujan Berterusan Tahap Buruk & Waspada Dijangka Landa 8 Negeri Sehingga 20 Disember Ini

Nur Syahirah Zainoor Hisham

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) sebentar tadi mengeluarkan amaran hujan berterusan di beberapa negeri di Semenanjung Malaysia pada tahap buruk dan waspada.

Kebanyakan lokasi di Pantai Timur dijangka bakal berdepan dengan amaran hujan berterusan pada tahap BURUK di beberapa daerah di negeri Kelantan seperti Tumpat, Pasir Mas, Kota Bharu, Jeli, Tanah Merah, Bachok, Machang, Pasir Puteh dan Kuala Krai.

Selain itu, beberapa kawasan di negeri jirannya, Terengganu turut tersenarai dalam amaran tersebut di Besut, Setiu, Kuala Nerus, Hulu Terengganu, Kuala Terengganu dan Marang.

Justeru, amaran hujan berterusan tahap BURUK dikeluarkan apabila terdapat beberapa indikator yang menunjukkan ramalan hujan lebat berterusan akan berlaku dengan jumlah hujan melebihi 60 mm dalam tempoh 6 jam.

Bagi kebanyakan kawasan di utara dan selatan Malaysia, termasuklah Pantai Timur memcatatkan amaran hujan berterusan pada tahap WASPADA.

Tiga negeri di utara Malaysia bakal menghadapi hujan berterusan iaitu Perlis, Kedah dan Pulau Pinang. Manakala, enam kawasan sahaja dicatatkan di Perak iaitu, Kerian, Larut, Matang Dan Selama, Hulu Perak dan Kuala Kangsar.

Seterusnya, enam lokasi di Johor juga mendapat amaran tahap WASPADA iaitu Segamat, Kluang, Mersing, Kulai, Kota Tinggi dan Johor Bahru.

Di samping itu, amaran tahap WASPADA turut dikenakan bagi beberapa kawasan di Pantai Timur seperi Gua Musang di Kelantan serta Dungun dan Kemaman di Terengganu.

Dalam pada itu, terdapat tujuh lokasi dicatatkan di Pahang iaitu Tanah Tinggi Cameron, Lipis, Jerantut, Maran, Kuantan, Pekan dan Rompin.

Untuk makluman, amaran hujan ini berlanjutan sehingga Selasa (20 Disember) dan orang ramai diminta untuk sentiasa berwaspada dan peka akan keadaan semasa.

Bagi amaran hujan berlanjutan pada tahap WASPADA pula, dikeluarkan apabila terdapat petunjuk yang menunjukkan cuaca hujan atau ribut petir sama ada sedang atau diramlkan berlaku di sesuatu kawasan melebihi 6 jam dalam tempoh tersebut .

BACA: MBSA Nasihat Tangguh Aktiviti Di Kawasan Berisiko Termasuk Di Setia Alam Hiking Trail

Sumber: MetMalaysia via Facebook