Hilman Idham Didakwa Buat Kenyataan Kegentaran Awam Di TikTok
KUALA LUMPUR, 20 Ogos (Bernama) — Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gombak Setia Muhammad Hilman Idham dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan membuat kenyataan yang menimbulkan kegentaran awam melalui laman sosial TikTok pada hujung bulan lepas.
Ketua Armada Bersatu itu bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan di hadapan Majistret Amira Abd Aziz.
“Saya akan lawan, minta dibicarakan,” katanya.
Muhammad Hilman, 36, didakwa membuat kenyataan berkenaan di TikTok yang mungkin boleh menimbulkan kegentaran awam dan mendorong mana-mana orang supaya melakukan kesalahan terhadap ketenteraman awam, pada 2.09 petang, 30 Julai lepas.
Pautan TikTok tersebut telah dilihat seorang pegawai polis daripada Jabatan Siasatan Jenayah Komersil, di Menara KPJ di sini.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan (Akta 574), yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya Datuk Badius Zaman Ahmad menawarkan wang jaminan RM10,000 kepada lelaki itu, manakala peguam Muhammad Rafique Rashid Ali yang mewakili Muhammad Hilman memohon agar wang jaminan ditetapkan pada RM3,000 dengan seorang penjamin.
“Mustahil untuk anak guam saya melarikan diri. Beliau dikenali di seluruh Selangor dan Malaysia serta telah memberi kerjasama penuh kepada pihak berkuasa. Saya mencadangkan wang jaminan RM3,000 dengan seorang penjamin,” kata peguam itu.
Mahkamah kemudian membenarkan Muhammad Hilman diikat jamin RM4,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 9 Okt ini untuk sebutan kes.
Sumber: BERNAMA