Beberapa hari lagi kita akan menyambut kedatangan Syawal. Pasti semua anak perantau tidak sabar pulang ke kampung halaman.
Namun, berita yang seringkali kita dengar menjelang hari perayaan ini adalah mengenai tragedi kemalangan jalan raya sehingga meragut nyawa insan tersayang.
Menurut statistik, daerah Batu Pahat di Johor merupakan antara daerah dan kawasan yang mencatatkan kadar kemalangan paling tinggi di Malaysia dalam tempoh 2015 hingga 2017 sehingga merekodkan kematian sebanyak 554 kes.
Manakala daerah Johor Bahru mencatatkan sebanyak 315 kes dan Kluang sebanyak 296 kes menjadi antara daerah yang kedua dan ketiga terbanyak kes kemalangan di Johor.
Menurut Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook, kemalangan jalan raya kerap terjadi di daerah itu khususnya di jalan Ayer Hitam ke Batu Pahat melalui Kluang.
“Kita tahu ada beberapa daerah yang saban tahun mencapai tempat lima tertinggi kadar kemalangan jalan raya. Umpamanya salah satu daerah yang hampir setiap tahun dia Top 5 ialah di Batu Pahat. Ini satu daerah yang saya tahu bahawa memang kadar kemalangannya tinggi walaupun dia punya penduduk tak ramai.
“Di Kuala Lumpur (dan) di bandar-bandar besar, kita tahu ramai orang, (dan) sebenarnya di Kuala Lumpur kadar kemalangan tak setinggi mana berbanding bandar-bandar lain walaupun kenderaan banyak,” kata beliau.
Sementara itu, Ketua Pengarah Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) Dr Siti Zaharah Ishak berkata, negeri Selangor dan Perak menjadi antara negeri yang mencatatkan bilangan kematian paling tinggi setiap tahun.
”Bagi negeri Selangor, jumlah kematian tertinggi bagi tempoh 2015-2017 adalah dengan daerah Kajang merekodkan jumlah yang tinggi iaitu 347, diikuti Klang Selatan (270) dan Kuala Selangor (260).
”Bagi negeri Perak pula, bagi tempoh 2015-2017, tiga daerah yang mencatatkan bilangan kematian tertinggi adalah Ipoh (402), diikuti dengan Manjong (261) dan daerah Hilir Perak (232),” katanya.
Mengulas mengenai daerah Batu Pahat itu, beliau berkata antara faktor terjadinya kemalangan adalah berikutan faktor manusia di samping kecenderungan untuk memandu laju kenderaan dalam keadaan jalan lurus.
Beliau berkata kebanyakan kemalangan juga berlaku di jalan persekutuan berbanding jalan-jalan lain.
Sumber: Bernama