
Hanya Malaysia Berani Turunkan Harga Minyak Dalam Keadaaan Ekonomi Tidak Menentu – PM
Hanya Malaysia merupakan satu-satunya negara di dunia yang berani menurunkan harga minyak untuk rakyatnya ketika dalam keadaan ekonomi tidak menentu.
Perkara itu ditegaskan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika berucap pada majlis Perjumpaan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama warga Jabatan Perdana Menteri (JPM), hari ini.
Menerusi majlis berkenaan, beliau mengumumkan rakyat Malaysia akan menikmati harga runcit baharu RON95 pada RM1.99 seliter, bermula 30 September ini, selaras dengan pelaksanaan subsidi bersasar.
Tambah beliau, langkah ini dapat dilaksanakan hasil daripada tadbir urus yang baik oleh kerajaan walaupun mewarisi beban hutang yang tinggi.
Hanya Malaysia, satu-satunya negara berani turunkan harga minyak ketika ekonomi tidak menentu
“Urutan keutamaan Negara MADANI ini bermula daripada tatakelola. Bermula daripada atas, sehingga ke penjawat awam dan ke bawah.
“Alhamdulillah, hasilnya lebih meyakinkan sehingga kita berani, satu-satunya negara di dunia yang berani menurunkan harga minyak dalam keadaan ekonomi tidak menentu,” katanya.
Menerusi Program Budi MADANI RON95 (BUDI95), rakyat Malaysia yang memiliki lesen memandu yang sah layak menikmati harga baru RON95 iaitu pada RM1.99 sen seliter, bermula 30 September ini.
Manakala, anggota polis dan tentera pula menikmati penurunan tersebut lebih awal bermula 27 September diikuti kira-kira 5 juta penerima Sumbangan Tunai Rahmah, sehari kemudian.
Setiap rakyat Malaysia tanpa mengira had pendapatan akan menerima siling kelayakan bulanan sebanyak 300 liter subsidi minyak RON95.
Pengguna hanya perlu membuat pengesahan identiti menggunakan MyKad di kaunter atau pam minyak, serta boleh menggunakan e-dompet TNG atau aplikasi syarikat minyak seperti Setel untuk menikmati subsidi tersebut.
Berdasarkan data daripada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), dianggarkan 16 juta rakyat Malaysia akan menikmati BUDI95 ini.
“Mudah-mudahan pelaksanaan ini akan bermakna. Saya harus tekankan, ini adalah keputusan dasar yang besar oleh Jemaah Menteri untuk memenuhi janji kita.
“Walaupun janji kita patut lebih awal (dilaksanakan), tetapi kita lihat kepada kekangan ekonomi dan beban hutang yang besar, kita kaji sepenuhnya supaya ia tidak menjejaskan ekonomi negara.
“Alhamdulillah, saya syukur kerana kita dapat, dalam keadaan ekonomi tidak menentu, melaksanakan sesuatu yang boleh benar-benar meringankan beban rakyat dalam keadaan sekarang ini. Jadi, terimalah dalam keadaan yang baik” katanya lagi.
Dalam pada itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut menjelaskan bukan warganegara perlu membayar harga minyak RON95 pada RM2.60 seliter, bermula 30 September ini.
BUDI95: Harga Petrol Di Malaysia Antara Terendah Di Dunia – Amir Hamzah
Sumber: Datuk Seri Anwar Ibrahim