
Seorang lelaki mengaku nyaris terkena ‘serangan jantung’ selepas ternampak muka seseorang ‘merenung’ ke arahnya dari dalam mesin basuh, tulis Mirror.co.uk. Pun begitu, Alex Boardman, 47, kemudiannya menyedari bahawa wajah itu ialah cetakan pada bantal kusyen anjing peliharaannya yang telah dibasuh.
Menurut portal itu, Alex telah memberi anjingnya barbeku ayam untuk dimakan, namun haiwan tersebut telah memuntahkannya kembali ke atas kusyen yang mempunyai cetakan wajah penyanyi, David Bowie.
Sibuk mengemas, lelaki itu kemudiannya telah memasukkan bantal dan selimut haiwan tersebut ke dalam mesin basuh, sebelum terlupa akan kedua-duanya.
Lelaki itu turut menyertakan gambar bantal dengan cetakan wajah dikelilingi tuala yang melekat pada cermin pintu mesin basuh.

“Betul-betul menakutkan sebab saya terlupa saya letakkan ia di dalam,” katanya.
“Kisahnya, pagi tadi saya berikan Boo (anjing peliharaan) barbeku ayam. Ia tak suka dan muntah di atas kusyen. Jadi masa sedang menguruskannya, saya perlu basuh selimut dan campak sekali (bantal) ke dalamnya.
“Saya betul-betul terlupa dan berjalan masuk ke dalam bilik. Ia betul-betul menakutkan saya.”