KUALA LUMPUR, 12 Okt – Kejadian paip pecah dilaporkan berlaku di Jalan Persiaran Jubli Perak, Seksyen 24, Shah Alam hari ini dipercayai disebabkan oleh pihak ketiga.
Pengurusan Air Selangor Berhad (Air Selangor) menerusi satu kenyataan memaklumkan, bekalan air akan ditutup pada 9 malam ini bagi melaksanakan kerja-kerja pembaikan paip pecah tersebut dan dijangka siap pada 9 pagi esok.
“Berikutan itu, enam kawasan di Wilayah Klang/Shah Alam akan mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual yang melibatkan para pengguna di Seksyen 18, 19, 20, 23, 24 dan 25, Shah Alam.
“Bekalan air di kawasan terjejas dijangka akan pulih sepenuhnya pada 3 petang esok. Para pengguna akan menerima bekalan air secara berperingkat-peringkat berdasarkan jarak premis dan tekanan air apabila bekalan air disalurkan semula setelah kerja-kerja pembaikan siap dilaksanakan,” kata kenyataan tersebut, hari ini.
Sebarang perkembangan terkini akan dimaklumkan dari semasa ke semasa melalui semua saluran komunikasi rasmi Air Selangor di Facebook, Twitter dan Instagram serta aplikasi Air Selangor dan laman sesawang www.airselangor.com.

Sumber: Air Selangor