Festival Mega iLINDUNGu 2025 Bakal Tiba, Pelbagai Aktiviti Dan ‘Show’ Artis Menanti Pengunjung
Pertubuhan Keselamatan Sosial akan menganjurkan Festival Mega iLINDUNGu 2025 dengan menawarkan pelbagai pengalaman luar biasa dengan gabungan hiburan, ilmu dan gaya sihat semuanya di bawah satu jaringan keselamatan sosial LINDUNG. Festival berkenaan akan berlangsung dari 24 sehingga 26 Oktober 2025 di Dataran Karnival, Perkarangan Stadium Shah Alam.
Jadi, bagi korang yang ada kelapangan dan masih mencari aktiviti untuk dibuat pada hujung minggu ini, boleh mengunjungi festival ini dari jam 10:00 pagi sehingga 10:00 malam. Lebih manis, sekiranya festival ini boleh dihadiri bersama keluarga dan rakan-rakan bagi meraikannya dengan semangat kebersamaan bersama PERKESO.
Pelbagai Aktiviti Menarik Menanti Pengunjung
Pengunjung yang datang berpeluang untuk nikmati dan alami sendiri pelbagai aktiviti menarik dalam tempoh tiga hari tersebut.
Antara tarikan utama ialah cabutan bertuah dengan hadiah menarik, podcast bersama personaliti Maria Tunku Sabri, serta Karnival Kerjaya MyFutureJobs yang menyediakan peluang pekerjaan, semakan resume dan sesi bimbingan kerjaya lebih-lebih lagi untuk generasi muda.
Kaunter saringan kesihatan percuma dan pelbagai kaunter perkhidmatan PERKESO turut ada disana seperti Kaunter Semakan Caruman PERKESO, Kaunter Semakan Tuntutan Faedah Pencarum PERKESO, Kaunter Pendaftaran ACare Simcard bagi pekerja asing, dan kaunter topi keledar percuma sebagai kemudahan servis buat para pengunjung yang hadir.
Bermula hari Jumaat, 24 Oktober, festival membuka tirai dengan demonstrasi pembuatan dan dekorasi Strawberry Tiramisu, perkongsian ceramah kesihatan daripada Majlis Kanser Nasional (MAKNA) serta sesi ceramah “PERKESO lindung semua” oleh Sheikh Mahmood Al Wasobi. Pengunjung turut disajikan dengan persembahan qasidah oleh Angham Anisah bersama persembahan nasyid daripada kumpulan Rabbani.
Pada Sabtu, 25 Oktober, suasana bakal menjadi lebih meriah dengan sesi Bual Bicara Bersama Agensi Rakan Sinergi PERKESO, diikuti Simulasi Kereta Lumba. Petang akan diteruskan dengan Bual Santai bersama Makkiah Ferry bagi sesi Lindung Kasih, dan malamnya dimeriahkan dengan Konsert iLINDUNGu menampilkan DramaBand dan Kartika.
Hari terakhir, Ahad, 26 Oktober, memberi tumpuan kepada aktiviti komuniti dan santai seperti aktiviti riadah Basikal Lipat dan Pound With Hanis, diikuti Perkongsian Kisah Hidup Orang Berinsurans. Petang dilengkapkan dengan perkongsian 10 Resume Hacks From HR oleh Paktam Nizam Ahmad serta persembahan magic silap mata oleh MawieMagic, sebelum festival melabuhkan tirai dengan Konsert Penutup Festival Mega iLINDUNGu menampilkan kumpulan Sofazr dan Kristal X.
Lebih menarik, ada pelbagai penampilan istimewa dari artis dan pempengaruh ternama di Malaysia, yang akan turut sama memeriahkan festival ini. Pelbagai aktiviti dan program juga telah tersedia untuk pengunjung yang hadir, dan menjanjikan pengalaman yang terbaik sepanjang festival ini.