Gerhana bulan penumbra dijangka berlaku minggu hadapan, tepatnya pada tanggal 19 November 2021. Gerhana bulan ini boleh dilihat dengan jelas tanpa binokular atau teleskop di beberapa kawasan di seluruh dunia.
Menurut ciapan di laman Twitter rasmi Planetarium Negara, fenomena gerhana bulan sebahagian itu dijangka berlaku sekitar jam 6.58 petang hingga 8.03 malam waktu tempatan. Pun begitu, fenomena langit ini tidak dapat dilihat dengan mata kasar dari Malaysia.
Memetik artikel Business Insider yang dikongsikan Planetarium Negara, NASA menyifatkan peristiwa gerhana bulan penumbra kali ini sebagai gerhana bulan terlama yang pernah terjadi di antara tahun 2001 dan 2100.
Gerhana bulan yang bakal berlaku 19 November ini akan mengambil masa selama 3 jam, 28 minit dan 23 saat di mana bumi akan menghalang 97 peratus permukaan bulan daripada terkena cahaya matahari. Dalam tempoh ini, sebahagian permukaan bulan akan kelihatan seperti kemerah-merahan.
NASA menjangkakan 179 fenomena gerhana akan terjadi dalam tempoh lapan dekad, di mana secara purata, gerhana mungkin terjadi dua kali dalam setahun. Peristiwa gerhana seterusnya dijangka berlaku pada 16 Mei tahun hadapan.
Sumber: Planetarium Negara, Business Insider