
Menteri Kewangan Pakistan Miftah Ismail mengumumkan peletakan jawatan pada Ahad disebabkan negara itu menghadapi krisis ekonomi yang terburuk sejak banjir melanda beberapa bulan lepas, lapor Wion News.
Beliau memaklumkan mengenai peletakan jawatannya dalam satu kenyataan di laman Twitter selepas pertemuan bersama mantan Perdana Menteri dan Perdana Menteri Pakistan.
“Dalam pertemuan dengan Mian Nawaz Sharif (bekas perdana menteri) dan Perdana Menteri Shehbaz Sharif hari ini, saya secara lisan telah meletakkan jawatan sebagai Menteri Kewangan.
“Saya akan membuat perletakan jawatan rasmi apabila tiba di Pakistan. Ia satu penghormatan untuk berkhidmat dua kali sebagai Menteri Kewangan,” katanya dalam ciapan beliau.
Difahamkan, keputusan peletakan jawatan itu dibuat lazimnya disebabkan oleh keadaan ekonomi semasa yang melanda di Pakistan.
Bagaimanapun ujar beliau, negara Asia Selatan itu dipercayai tidak akan gagal ekoran pihaknya sedang mendapatkan pelepasan hutang daripada beberapa pemiutang antarabangsa.
Jelasnya, Pakistan akan menerima bantuan daripada Qatar dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan menyatakan bahawa Putera Mahkota Saudi Mohammed Salman memberi jaminan sebanyak RM4 juta kepada perdana menteri.
Difahamkan Ismail kini sedang berada di London bersama Shehbaz Sharif dan kedua-duanya dijangka pulang ke tanah air pada minggu ini.
Ketika ini ekonomi Pakistan mengalami ketidakstabilan ekonomi berterusan sehingga defisit serta inflasi semakin meningkat hingga memberi tekanan kepada rakyat dan sektor-sektor perniagaan.
Sementara itu, banjir dahsyat yang meliputi sebahagian besar Pakistan sejak beberapa bulan lalu telah memburukkan lagi keadaan.
Untuk rekod, kejadian malapetaka itu telah meragut lebih 1,500 nyawa dan mengakibatkan kerosakan infrastruktur hampir kira-kira RM135 billion yang menjadi penyebab kebimbangan di negara itu.
Ismail merupakan Menteri Kewangan kelima negara itu yang akan diganti dalam masa kurang daripada empat tahun.
Sumber: Wion News