Siapa yang tahu, nasib seseorang boleh berubah dalam sekelip mata sekiranya dia berusaha dengan bersungguh-sungguh. Pun begitu, usaha yang dikerjakan juga perlulah disertakan dengan strategi yang betul dan juga medium yang tepat agar dapat merealisasikan apa yang diimpikan.
Seperti dalam bidang pekerjaan, usaha yang bersungguh-sungguh dengan strategi dan medium yang tepat, sudah pasti akan memudahkan seseorang itu untuk memperolehi sebarang pekerjaan yang pernah diimpikan olehnya. Selain itu, asal usul seseorang atau di mana tempat tinggal bukanlah isu besar yang perlu difikirkan, namun kesungguhan seseorang itu yang cuba menceburkan diri dalam sesuatu yang baharu merupakan tonggak kejayaan seseorang.
Seperti kisah seorang pemuda yang baru berusia 28 tahun, dia yang berasal dari Kampung Tulid telah mendapat perkhabaran gembira apabila sudah ditawarkan pekerjaan sebagai Kitchen Crew di Uncle Don’s. Berkongsikan ‘rahsia’ kejayaannya, Calvin yang menyertai program Skim Perantisan Nasional (SPN) nampaknya membuahkan hasil apabila dia ditawarkan pekerjaan.
Maklumnya, dia mengetahui program tersebut melalui group whatsapp Persatuan Belia TYC. Sejurus mengetahui mengenai program yang diyakini berkebolehan ini, Calvin terus membuat permohonan bagi menjadi salah seorang peserta dan telah dihubungi untuk sesi temuduga atas talian.

Usahanya membuahkan hasil, dua minggu penantian nampaknya berbaloi apabila dia telah mendapat khabar gembira dimana Calvin telah mendapat tawaran pekerjaan.
“Setelah dua minggu saya mendapat berita gembira setelah mengetahui saya berjaya mendapat tawaran kerja sebagai Kitchen Crew di Uncle Don’s.”
Bukan Calvin sahaja yang boleh tersenyum lebar, namun graduan dari Universiti Malaysia Sabah ini juga turut akan mengukir senyuman setelah berpeluang menyertai Worldline International (Malaysia) Sdn. Bhd.
Khai Jin yang berasal daripada keluarga B40 juga berharap dapat memulakan kariernya dengan memperoleh pengetahuan dan pengalaman yang berharga melalui program perantisan ini.

World International (Malaysia) Sdn. Bhd merupakan salah satu syarikat terkemuka di negara ini sebagai pembangun IT. Peluang yang dikecapi oleh Khai Jin ini sememangnya begitu berharga buatnya dan secara tidak langsung mungkin dapat mengubah kehidupan keluarganya yang kini menjalani kehidupan secara sederhana.
Ekoran pandemik COVID-19 yang telah menjejaskan pelbagai sektor di negara kita, program sebegini nampaknya dapat memberi nafas baru kepada belia untuk menempatkan diri dalam industri pekerjaan dan juga dapat menjana pendapatan. Dalam Skim Perantis Nasional, sebanyak 10,000 peluang pekerjaan yang terhidang untuk para belia yang sedang berusaha mencari pekerjaan.
Daripada 10,000 peluang tersebut, jadilah salah seorang dengan membuat permohonan secara dalam talian di http://perantisan.kbs.gov.my. Namun begitu, adalah lebih baik untuk mengetahui dengan lebih lanjut mengenai program yang dianjurkan oleh Kementerian Belia dan Sukan ini.
Skim Perantisan Nasional merupakan satu program di bawah inisiatif kolaborasi rentas kementerian yang dilaksanakan oleh Kementerian Belia Dan Sukan (KBS) khusus untuk melonjakkan kebolehpasaran belia dan menyediakan peluang latihan serta pekerjaan.
Antara tujuan progam ini dianjurkan adalah untuk meningkatkan tahap kebolehpasaran perantis melalui latihan soft-skill dan “on the job training”. Selain itu, program ini juga bakal menyediakan sistem sokongan kepada belia untuk memudahkan mendapat pekerjaan dan membantu mengurangkan kadar pengangguran dalam kalangan belia.
Bagi belia yang minat untuk menyertai program ini, sangatlah dialu-alukan untuk membuat permohonan atas talian. Pun begitu, syarat-syarat seperti tidak berusia melebihi 35 tahun, tiada rekod jenayah dan banyak lagi perlulah dituruti supaya permohonan anda tidak ditolak. Anda juga boleh mendapatkan maklumat lanjut mengenai permohonan melalui infografik di bawah.
Tambahan lagi, perantis yang terpilih juga bakal menerima beberapa manfaat seperti elaun mobiliti untuk pertukaran atau perpindahan tempat kerja yang melebihi 100km.

Bagi perantis yang berada di antara Semenanjung, Sabah, Sarawak dan Labuan, mereka akan menerima elaun sebanyak RM600. Bagi yang perlu menjelajah dari Sabah, Sarawak dan Labuan ke Semenanjung atau sebaliknya, mereka pula akan menerima sebanyak RM1,000. Pembayaran ini akan diterima secara one-off setelah perantis melaporkan diri kepada majikan.

Bagi belia yang berminat dan melepasi syarat-syarat kelayakan, permohonan boleh dibuat melalui perantisan.kbs.gov.my. Majikan / syarikat yang ingin menyertai program SPN bagi menyediakan peluang latihan dan pekerjaan kepada belia boleh menghubungi sekretariat SPN melalui e-mel spn@kbs.gov.my atau talian 03-8871 3265/ 3264 / 3463.