IPOH, 9 Sept (Bernama) — Dua lelaki termasuk seorang warga Filipina maut dalam kemalangan apabila van yang mereka naiki terbabas lalu melanggar sebuah lori di Kilometer 331.2 Lebuhraya Utara-Selatan arah utara, dekat Tapah hari ini.
Ketua Polis Daerah Tapah Supt Wan Azharuddin Wan Ismail berkata kedua-dua mangsa yang merupakan penumpang van iaitu Collins Prestly Primus, 29, meninggal dunia semasa dalam perjalanan ke Hospital Tapah, manakala seorang warga Filipina, Relano Gemar, 35, maut di tempat kejadian.
Beliau berkata pihaknya menerima maklumat mengenai insiden itu pada pukul 12.54 tengah hari membabitkan sebuah van jenis Nissan yang dinaiki empat individu, dalam perjalanan dari arah Klang, Selangor ke Bukit Kayu Hitam, Kedah, manakala lori tanpa muatan dari arah Setia Alam, Selangor ke Ipoh.
“Hasil siasatan awal mendapati kejadian itu berlaku disebabkan van itu telah hilang kawalan dan melanggar belakang bahagian kanan lori tersebut, yang berada di laluan kiri dan hendak berhenti di lorong kecemasan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Wan Azharuddin berkata bagaimanapun pemandu van berusia 31 tahun dan pemandu lori berumur 43 tahun tidak mengalami kecederaan, manakala seorang lagi penumpang van tersebut berusia 25 tahun hanya cedera ringan.
Menurutnya pemandu van itu telah ditahan bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Sumber: BERNAMA