
Fenomena hot pot popular dari Melbourne, Dragon Hot Pot, kini tiba di Malaysia dengan pembukaan rasmi cawangan pertamanya di Low Yat Park, Bukit Bintang. Terletak di tengah-tengah nadi Kuala Lumpur dan berkeluasan 2,600 kaki persegi, restoran ini memperkenalkan pengalaman ‘malatang’ yang tular di Australia — gabungan rasa pedas, harum, dan hangat yang menjanjikan pengalaman makan berbeza untuk penggemar makanan tempatan.
Majlis pembukaan tersebut disempurnakan oleh Samuel Lee Thai Hung, Timbalan Ketua Pengarah (Promosi II) Tourism Malaysia, yang menyifatkan kehadiran jenama ini sebagai satu lagi nilai tambah kepada industri pelancongan dan gastronomi negara.

“Pembukaan cawangan pertama Dragon Hot Pot ini tepat pada waktunya dengan kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM2026) sekarang sedang digerakkan secara menyeluruh,” katanya. “Belanjawan 2026 yang dibentang oleh Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim di Parlimen tempoh hari memperuntukkan RM700 juta untuk pelancongan, termasuk dana RM500 juta khusus untuk VM2026, sekaligus memberi isyarat jelas bahawa industri pelancongan, termasuk tarikan makanan, kekal sebagai enjin penting pertumbuhan ekonomi negara.”

Beliau turut mengulas inisiatif kerajaan yang memperkenalkan potongan cukai pendapatan individu sehingga RM1,000 bagi perbelanjaan tiket masuk tarikan pelancongan tempatan dan acara kebudayaan. Katanya, insentif ini bukan sahaja menggalakkan rakyat meneroka negara sendiri, tetapi juga menghidupkan semula ekonomi komuniti setempat.
“Apabila kita mengunjungi muzium, taman, atau lokasi kebudayaan, kita sebenarnya membantu peniaga kecil, pengusaha penginapan, pengangkutan, dan juga makanan tempatan,” ujarnya. “Inilah denyut nadi sebenar pelancongan Malaysia. Dan selepas seharian berjalan, restoran seperti Dragon Hot Pot menawarkan pengalaman makan yang tidak dapat dilupakan, menambah lagi daya tarikan Kuala Lumpur sebagai destinasi gastronomi serantau.”

Pelancaran ini turut menyaksikan satu pencapaian membanggakan apabila Dragon Hot Pot Malaysia diiktiraf oleh ASEAN Records sebagai “Jenama Hotpot Mala dari Australia dengan Pilihan Bahan dan Asas Sup Terbanyak di ASEAN.” Dengan 162 bahan pilihan di rak layan diri dan 10 jenis asas sup, pelanggan bebas mencipta kombinasi rasa tersendiri menjadikan setiap mangkuk pengalaman yang unik.
Menurut Louis Kuo, Pengasas Dragon Hot Pot Malaysia, matlamat mereka adalah untuk menjadikan hot pot lebih mudah dinikmati oleh semua lapisan masyarakat. “Kami mahu ubah persepsi bahawa hot pot hanya untuk sesi makan panjang. Di kota sibuk seperti Kuala Lumpur, kami mahu sesuatu yang cepat, fleksibel tapi tetap enak,” katanya. “Sama ada untuk makan tengah hari ringkas, makan malam santai atau sesi melepak lewat malam, Dragon Hot Pot ada untuk setiap waktu.”

Rahsia di sebalik kejayaan jenama ini terletak pada keaslian resipi dan kualiti penyediaannya. Asas sup Dragon Hot Pot, termasuk ‘Malatang’ yang terkenal, dimasak perlahan lebih 12 jam menggunakan ayam tua, lebih 20 jenis herba Cina, dan lada Sichuan asli berdasarkan resipi tradisional berusia ratusan tahun.
Menariknya, di Malaysia segala operasi dan semua menu disediakan secara mesra Muslim tanpa menjejaskan keaslian rasa. Malah, pihak syarikat kini dalam proses mendapatkan pensijilan halal JAKIM, sejajar dengan komitmen mereka terhadap pelanggan tempatan.
Dikendalikan oleh Taste of Malaysia Hot Pot Sdn. Bhd., pembukaan ini menjadikan Malaysia sebagai pasaran keempat selepas kejayaan di Australia, Indonesia, dan Vietnam, dengan Jepun dijangka menyusul pada tahun hadapan. Dalam tempoh dua tahun yang mendatang, Dragon Hot Pot dijangka akan membuka lima hingga enam cawangan baharu di Lembah Klang dan bandar-bandar utama lain dengan menawarkan peluang francais untuk usahawan tempatan yang ingin turut serta.
Majlis yang berlangsung dengan penuh meriah menyaksikan persembahan budaya seperti tarian singa dan naga, serta tarian kipas tradisional Cina yang memukau tetamu. Aura moden pula diserikan dengan persembahan istimewa oleh STEADYGANG dan Diana Danielle, menghiburkan tetamu melalui lagu dan permainan interaktif.

Sebagai tanda penghargaan kepada peminat makanan ‘hot pot’, Dragon Hot Pot turut melancarkan promosi pembukaan yang menarik. Pelanggan menikmati 300 gram hidangan percuma, mencetuskan barisan panjang pengunjung yang tidak mahu melepaskan peluang.
Bagi mereka yang terlepas peluang untuk merasai menu Dragon Hot Pot, mereka boleh mengambil peluang sepanjang Oktober ini, di mana dua promosi utama ditawarkan kepada umum. Dari 18 hingga 20 Oktober 2025, 300 gram pertama Malatang diberikan secara percuma, manakala dari 21 hingga 31 Oktober, pelanggan yang berbelanja RM25 ke atas boleh memenangi hadiah istimewa melalui kad gores bertuah, termasuk iPad, koleksi eksklusif Labubu, AirPods, baucar makan, serta hadiah utama, makan percuma selama setahun di Dragon Hot Pot.
Untuk maklumat lanjut dan promosi terkini, ikuti Dragon Hot Pot Malaysia di Instagram, Facebook dan Rednote (@DragonHotPot_MY).