Bergelar sebagai seorang petugas penghantaran sememangnya terdedah kepada pelbagai risiko terutamanya ketika berada di atas jalan raya. Walaupun sedar akan perkara itu, ianya tidak menjadi penghalang kepada kebanyakan individu untuk menjadi ‘delivery rider’ bagi menjana pendapatan untuk menyara kehidupan diri sendiri ataupun keluarga.
Telah banyak kisah yang dilaporkan kes kemalangan melibatkan golongan ini, ada yang cedera sehingga hilang keupayaan malah ada yang sehingga kehilangan nyawa. Namun apakan daya kalau itu sudah takdir bagi seseorang.
Seperti kisah dua orang ‘delivery rider’ ini, mereka terlibat di dalam kemalangan jalan raya ketika menjalankan tugas sehingga mengalami kecederaan.
Bagi seorang penghantar barangan bagi perniagaan dalam talian Lazada, Nasrullah bin Nadri difahamkan telah dirempuh sebuah kereta dari arah bertentangan. Kejadian jam 1.45 petang pada 1 Mac yang lalu telah menyebabkan Nasrullah mengalami patah tulang di kaki kanan, luka di tangan kanan dan sakit pada dada serta belakang badannya.
Lelaki berusia 35 tahun itu telah mendapatkan rawatan di Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang dan diberikan cuti sakit selama 58 hari. Disebabkan itu, pergerakan Nasrullah terbatas dan tidak dapat menjalankan tugas yang biasa dilakukan setiap hari.

Lain pula ceritanya bagi seorang ‘delivery rider’ wanita ini, dia telah terlibat dalam satu kemalangan sehingga menyebabkan mengalami kecederaan patah kaki kanan. Difahamkan, Safadilla Binti Hussain telah dilanggar sebuah motosikal secara tiba-tiba dalam perjalanan mengambil pesanan makanan.
Dia juga telah diberi cuti selama 119 hari bermula 4 Disember 2020 sehingga 1 April 2021. Ketika tempoh itu, Safadilla bagaikan ‘terhenti’ sementara punca pendapatannya kerana tidak dapat menjalankan tugas seperti biasa. Pendapatan penghantar makanan sememangnya bergantung kepada ‘order’ oleh pelanggan. Sekiranya banyak, maka banyaklah pendapatan yang diperolehi dan sebaliknya.

Seperti yang dikatakan, bertugas sebagai penghantar barangan terutamanya yang menunggang motosikal sememangnya terdedah kepada bahaya. Disebabkan itulah sering dinasihatkan kepada golongan ini untuk membuat persediaan kerana kita tidak tahu segala kemungkinan yang akan berlaku.
Seperti Nasrullah, dia boleh menarik nafas lega kerana hasil semakan mendapati dirinya merupakan pencarum aktif yang menerima inisiatif Kerajaan di bawah SPS Lindung iaitu perlindungan Skim Bencana Pekerjaan di bawah Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS selama setahun, sejak 12 Februari 2021. Berkat tindakan bijaknya yang menjadi pencarum aktif, Nasrullah bersyukur kerana layak menerima bayaran Faedah Hilang Upaya Sementara (FHUS) bernilai RM2,397.15 bagi tempoh cuti sakit yang diterimanya.

Begitu juga buat Safadilla, walaupun hilang upaya sementara daripada menjalankan tugas, dia boleh bersyukur dengan tindakan bijaknya mendaftar dalam Program PenjanaGig atau Program Dana Padanan Caruman Ekonomi Gig Platform yang memberi manfaat buat dirinya. Dalam tempoh 119 hari cuti sakit, Safadila telah dibayar FHUS oleh PERKESO sebanyak RM4,918.27 dan sedikit sebanyak dapat menampung pendapatannya yang terjejas.
Sememangnya terbukti, faedah yang diterima oleh kedua-dua rider ini dapat membuktikan kebijakan mereka yang mendaftar dalam skim yang ditawarkan PERKESO.
Program PenjanaGig yang diumumkan YAB Perdana Menteri melalui Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) merupakan antara bantuan kerajaan berbentuk sumbangan sebahagian caruman SKSPS PERKESO. Di bawah program ini, kerajaan akan membiayai 70% daripada RM232.80 caruman setahun Pelan Kedua SKSPS, manakala baki 30% adalah daripada platform penyedia perkhidmatan ataupun pekerja gig sendiri.

Bagi SPS Lindung pula, inisiatif ini adalah pakej penambahbaikan PenjanaGig di mana bantuan kerajaan berbentuk pembiayaan penuh 100% caruman SKSPS yang disasarkan kepada golongan Delivery Riders, juga melibatkan caruman setahun Pelan Kedua iaitu sebanyak RM232.80.
Perlindungan yang disediakan ini juga meliputi faedah tunai di samping rawatan perubatan, pemulihan jasmani dan latihan vokasional. Diharapkan juga, melalui bantuan faedah ini, kedua-dua ‘delivery riders’ dapat meneruskan kehidupan setelah sembuh. Kisah Nasrullah dan Safadilla membuktikan betapa pentingnya perlindungan terutamanya bagi yang berdepan risiko pada setiap hari.