Menurut kajian Agensi Penyelidikan Kanser Antarabangsa (IARC) Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), kanser pundi kencing boleh dikesan 10 tahun lebih awal melalui ujian urin biasa.
Ujian berkenaan boleh mengenalpasti kanser sebelum simptom muncul dengan mengesan kewujudan mutasi genetik di dalam organ tersebut.
Dalam kajian itu, para penyelidik telah mengambil sampel urin dari 131 warga Iran berusia 40 hingga 75 tahun. Mereka kemudiannya membuat susulan ke atas individu terlibat selama satu dekad.
Dapatan dari kajian itu mendapati 30 individu mengalami kanser pundi kencing dalam tempoh 10 tahun kemudiannya. Seramai 14 orang (46 peratus) daripadanya telah dikesan memiliki kanser 10 tahun lebih awal melalui ujian urin berkenaan.
Sebahagian besar kes kanser pundi kencing dikesan pada saat akhir, menjadikan peluang untuk sembuh semakin tipis.
Setakat ini, satu-satunya cara untuk mendiagnosa penyakit berkenaan hanyalah melalui prosedur cystoscopy di mana kamera akan dimasukkan ke dalam pundi kencing pesakit setelah munculnya simptom.
Gambar hiasan. (Kredit: Urology Associates)Apa itu kanser pundi kencing?
Kanser pundi kencing disebabkan tumor yang muncul pada lapisan otot organ tersebut.
Menurut American Cancer Society, kanser ini merupakan antara kanser keempat paling kerap berlaku dalam kalangan lelaki.
Pesakit dikatakan mempunyai kadar survival dalam tempoh 10 tahun sebanyak 50 peratus. Kira-kira separuh dari kes boleh dicegah.
Antara simptom penyakit ini adalah kewujudan darah dalam air kencing, kerap atau tidak dapat menahan untuk membuang air kecil, sakit pada bahagian pelvis, bengkak kaki serta kehilangan berat badan.
Penyakit ini dikaitkan dengan amalan merokok dan pendedahan terhadap bahan kimia di dalam plastik atau tempat kerja.
Rawatan bagi kanser ini mungkin melibatkan pembedahan, radioterapi atau kemoterapi.
Sumber: Daily Mail, New Atlas, American Cancer Society, NHS