Didakwa Pandu Melulu, Lelaki Cedera Ditumbuk Di Hadapan Restoran
Seorang lelaki cedera ditumbuk kerana didakwa memandu secara melulu sehingga hampir melanggar sebuah motosikal, lapor Sinar Harian.
Kejadian berkenaan dilaporkan berlaku di hadapan sebuah restoran dekat Bandar Bukit Tinggi, pada Isnin.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian tersebut daripada mangsa yang merupakan lelaki warga tempatan berumur 19 tahun kira-kira jam 10.48 malam.
“Siasatan mendapati, kejadian kira-kira jam 8.15 malam itu berlaku ketika mangsa memandu sebuah kereta jenis Toyota Vios berwarna hitam didakwa secara melulu masuk ke ruangan parkir di hadapan restoran berkenaan.
“Kenderaan dipandu mangsa didakwa hampir terlanggar sebuah motosikal dinaiki seorang lelaki sebelum berlakunya pertengkaran antara kedua-dua mereka,” katanya seperti yang dilaporkan dalam Sinar Harian pada Selasa.
Menurut Hoong Fong, keadaan menjadi lebih tegang apabila abang kepada penunggang motosikal terbabit tiba di lokasi kejadian.
“Individu terbabit bertindak memegang baju dan menolak mangsa ke atas bonet kereta sebelum abangnya itu menumbuk beberapa kali di bahagian muka mangsa.
“Mangsa bertindak melarikan diri sebelum pertelingkahan itu diredakan orang ramai yang berada di lokasi kejadian,” ujar Cha Hoong Fong.
Tambah beliau, mangsa mengalami kecederaan di bahagian kening dan siku sebelah kanan akibat kejadian tersebut.
“Susulan kejadian itu, Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan membuka satu kertas siasatan di bawah Seksyen 160 Kanun Keseksaan.
“Beberapa individu terlibat ketika kejadian telah dirakam keterangan dan kertas siasatan kes akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya dalam masa terdekat untuk tindakan selanjutnya,” tambahnya.
Terdahulu, sebuah video memaparkan seorang individu dipukul selepas didakwa memandu secara melulu, malah hampir mengakibatkan kemalangan di hadapan restoran menjadi tular di media sosial.
Dalam video itu, terlihat jelas mangsa ditumbuk sebelum kejadian terbabit diredakan oleh orang ramai yang berada di sekitar lokasi kejadian.
BACA JUGA: Kes Zulfarhan: 12 Tertuduh Tidak Puas Hati Keputusan Mahkamah, Akui Insiden Beri Kesan Sepanjang Hayat
Sumber: Sinar Harian