Menjalani hidup ini, pelbagai perkara yang tidak pernah terjangka akan berlaku dan menguji makna kesabaran serta keredhaan dalam diri.
Begitu juga dalam membina alam rumahtangga dan berkeluarga, tidak semua orang bernasib baik dalam ‘percaturan’ ini.
Melalui kiriman terbaru oleh Kuan Chee Heng atau Uncle Kentang di laman Facebook, beliau berkongsi mengenai nasib seorang wanita yang terpaksa tidur di dalam kereta bersama anak kecilnya selepas baru sahaja diceraikan oleh suaminya.

Sedar akan nasib yang dialami oleh wanita itu, Lembaga Zakat Selangor juga mengambil tindakan pantas dengan membantu wanita tersebut bersama 6 anaknya yang berusia 14, 10, 8, 3, 2 tahun dan seorang anak kecil berusia 5 bulan.
Melalui kiriman Lembaga Zakat Selangor di Facebook, suami wanita itu dipercayai sudah lebih empat bulan tidak pulang ke rumah sejak penghujung bulan Februari 2020.
Lebih menyedihkan, wanita itu juga disyaki menghidap kanser payudara dan belum menerima rawatan susulan di samping dua orang anaknya yang menghidapi masalah jantung berlubang dan ketumbuhan di leher.
Mereka kini ditempatkan di sebuah hotel di Bukit Beruntung yang dibiayai oleh NGO Darul Jariyah.
Sumber: Kuan Chee Heng, Lembaga Zakat Selangor